Tumpuan :
Dunia

Hari Kanak-Kanak Sedunia wajar disambut – UNICEF

GENEVA: Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini, bagi jutaan kanak-kanak di seluruh dunia, bukan lagi tentang sambutan tetapi perjuangan untuk kelangsungan hidup, lapor agensi berita Anadolu (AA) yang memetik kenyataan jurucakap Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), yang memberi amaran bahawa konflik, krisis iklim, dan pengabaian sistemik sedang merosakkan kehidupan anak-anak kecil.

“Hari Kanak-Kanak Sedunia sepatutnya menjadi hari untuk sambutan dan refleksi. Namun, bagi kanak-kanak di Gaza dan Lubnan, hari ini adalah tentang kelangsungan hidup, bukan sambutan,” kata James Elder.

Beliau menekankan bahawa di Sudan, lima juta kanak-kanak terjejas dengan sejuta daripadanya berusia bawah lima tahun terpaksa berpindah akibat keganasan.

“Di Ukraine, kita melihat serangan semakin meningkat. a akan menjadi hari yang sangat, sangat sukar,” katanya pada malam menjelang hari yang diraikan di peringkat antarabangsa itu.

Daripada peperangan kepada krisis kesihatan mental dan cabaran perubahan iklim, “mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pemimpin perlu melakukan banyak perkara,” katanya sambil menekankan isu kekebalan undang-undang.

Hari Kanak-Kanak Sedunia, yang diasaskan oleh Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1954, disambut setiap tahun pada 20 November untuk memupuk perpaduan antarabangsa, kesedaran tentang hak kanak-kanak, dan tindakan untuk menambah baik kebajikan mereka. Tarikh ini juga menandakan ulang tahun pengisytiharan Hak Kanak-Kanak pada tahun 1959 dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak pada 1989.

Namun, sambutan tahun ini diselubungi suasana suram, menonjolkan nasib kanak-kanak yang terperangkap dalam krisis global.

Elder menggesa pemimpin dunia untuk menunaikan komitmen mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan perjanjian untuk melindungi kanak-kanak serta mengutamakan kesejahteraan mereka.

“Luangkan 10 minit pada Hari Kanak-Kanak Sedunia untuk membayangkan jika ia adalah anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun atau anak lelaki mereka yang berusia 15 tahun yang mengalami kengerian ini, dan bagaimana mereka akan bertindak balas. Mungkin mereka akan menggunakan kedudukan pengaruh mereka untuk bertindak sewajarnya,” katanya.

Walaupun krisis di Gaza, Lubnan, dan Sudan mendapat perhatian utama, UNICEF menegaskan kepentingan memberi perhatian kepada semua cabaran yang dihadapi kanak-kanak di seluruh dunia.

“Terdapat kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan di Afrika Selatan, anak-anak yatim di Malawi, kanak-kanak yang menjadi buruh di Bangladesh, dan krisis kesihatan mental di Sydney. Kanak-kanak tetap kanak-kanak, di mana sahaja mereka berada,” kata Elder.

Beliau berkata pihak berpengaruh dan kerajaan tempatan perlu berhenti sejenak pada Hari Kanak-Kanak Sedunia dan melihat apa lagi yang boleh dilakukan untuk memperbaiki kehidupan kanak-kanak di sekeliling mereka.

Mengenai cabaran yang dihadapi oleh media dan organisasi antarabangsa dalam memastikan perhatian seimbang terhadap keperluan kanak-kanak di seluruh dunia — di mana konflik baharu sering membayangi krisis sebelumnya — beliau berkata, “Bukti dan data memang ada, tetapi kitaran berita sering lebih kepada emosi daripada isu yang penting.”

“Jika kita benar-benar berharap untuk masa depan yang lebih baik dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang, pelaburan psikologi dan fizikal mesti dibuat,” katanya.

— BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini