comscore
Tumpuan :
Dunia

Helah pramugari seludup emas 1kg terbongkar 

NEW DELHI: Pihak berkuasa India menahan seorang pramugari kerana dipercayai menyeludup hampir satu kilogram emas dari Muscat, Oman ke Kannur, dengan menyembunyikannya di dalam dubur.

Menurut sumber Direktorat Perisikan Hasil (DRI) helah wanita itu terbongkar selepas risikan khusus dilakukan pasukan DRI Cochin.

Surabhi Khatun dikatakan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kannur sebaik tiba dari Muscat pada 28 Mei lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 960 gram (g) emas cuba diseludup dalam bentuk kompaun, disorokkan dalam duburnya.

“Selepas disoal siasat dan melengkapkan proses lain diperlukan, wanita itu dibawa ke mahkamah majistret dan direman 14 hari di penjara wanita di Kannur,” ujar sumber dari Press Trust of India.

Sumber itu juga memaklumkan, ini adalah kes pertama penyeludupan emas dengan cara berkenaan yang membabitkan kru kabin syarikat penerbangan.

“Siasatan terperinci telah bermula dan bukti yang dikumpul setakat ini menunjukkan suspek pernah menyeludup emas beberapa kali sebelum ini.

“Kita juga sedang menyiasat pembabitan kumpulan penyeludupan yang berpangkalan di Kerala yang berkemungkinan ada kaitan dengan aktiviti itu,” katanya.

Sementara itu, syarikat penerbangan terlibat yang dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan. – Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini