BEIRUT: Kumpulan pejuang Hizbullah mengesahkan bakal pemimpin baharu mereka, Hashem Safieddine terbunuh dalam serangan Israel, baru-baru ini.
Media tempatan melaporkan, pengesahan itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kematian Hashem selepas serangan udara Israel terhadap Beirut pada 3 Oktober lalu.
“Kami berkabung kepada negara syahid dan mujahidin, negara penentangan dan kemenangan, seorang pemimpin besar dan syahid yang hebat dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, ketua Majlis Eksekutif Hizbullah, Yang Mulia ulama Sayyed Hashem Safieddine, semoga Tuhan Yang Maha Kuasa reda dengannya,” kata kumpulan pejuang itu dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Hizbullah berjanji untuk menebus dan meneruskan penentangan dan jihad sehingga mencapai matlamat kemenangan terhadap rejim Zionis Israel.
Selasa lalu, Israel mengesahkan telah membunuh Hashem dalam serangan udara tiga minggu lalu di pinggir selatan Beirut.
Israel menyasarkan Hashem pada 3 Oktober dengan dilaporkan menggugurkan 73 tan bom di pinggir selatan Beirut.
Hashem ialah tokoh terbaharu parti itu yang disahkan dibunuh Israel, berikutan rentetan pembunuhan dan pengeboman yang meragut sebahagian besar kepimpinan kanan kumpulan itu dan membunuh ratusan orang awam Lubnan.
Sejak Oktober tahun lalu, Israel melancarkan kempen udara intensif di Lubnan, menyebabkan lebih 2,500 orang terbunuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.