comscore
Tumpuan :
Dunia

Hospital Nasser kini jadi pangkalan tentera Israel

Penduduk Palestin yang cedera dalam serangan Israel ditempatkan di sepanjang koridor di dalam hospital Nasser, kemudahan perubatan yang kedua terbesar di Gaza. FOTO: Reuters

GAZA: Kompleks perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Gaza, diarah dikosongkan untuk dijadikan sebagai pangkalan tentera rejim Zionis Israel.

Menurut sumber perubatan, anggota tentera Israel menyerang secara fizikal ke atas kakitangan hospital di wad bersalin, menggari tangan dan membuka baju pakaian mereka ketika serbuan dilakukan.

Hanya 25 kakitangan perubatan yang tinggal di kompleks perubatan berkenaan dan kini tidak dapat mengendalikan kes-kes yang memerlukan rawatan intensif.

Doktor di unit rawatan rapi (ICU) antara yang ditahan anggota tentera Israel di dalam hospital, manakala puluhan pesakit yang berada dalam keadaan kritikal turut ditahan, dimasukkan ke dalam trak tentera dan kemudiannya dibawa ke lokasi yang tidak diketahui, meletakkan nyawa mereka dalam risiko.

Sumber perubatan turut mengesahkan bekalan elektrik juga diputuskan dari kompleks selama tiga hari yang membawa kepada pemberhentian bekalan oksigen kepada pesakit.

Tujuh pesakit dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan oksigen, manakala tiga wanita termasuk pakar pediatrik berada dalam keadaan teruk apabila mengalami kekurangan air, makanan, elektrik dan sanitasi.

Jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra berkata, kompleks perubatan Nasser adalah tulang belakang penjagaan kesihatan di selatan Semenanjung Gaza.

“Pemberhentian fungsinya adalah hukuman mati bagi ratusan ribu orang Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Khan Younis dan Rafah,” katanya.

Tentera Israel menyerbu hospital Khamis lalu. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini