comscore
Tumpuan :
Dunia

Houthi Yaman mendakwa lakukan serangan ke atas empat kapal di pelabuhan Haifa Israel

FOTO: Reuters

SANAA: Houthi Yaman hari ini berkata bahawa mereka telah menjalankan operasi ketenteraan bersama dengan kumpulan pejuang Islamic Resistance di Iraq, menyasarkan empat kapal di pelabuhan Haifa, utara Israel.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, berkata dalam satu kenyataan di televisyen bahawa kedua-dua kumpulan itu melancarkan serangan dron ke atas dua kapal tangki simen dan dua kapal kargo di pelabuhan Haifa pada hari Sabtu (22 Jun).

Beliau berkata, kapal itu milik syarikat yang “melanggar larangan memasuki pelabuhan Palestin yang diduduki”.

Tentera Israel belum mengulas insiden terbaharu itu, walaupun sebelum ini telah menafikan dakwaan serupa oleh Houthi Yaman.

Sarea juga berkata Houthi telah menyerang Express Shorthorn di Mediterranean menggunakan dron sebagai sebahagian daripada kempen kumpulan itu untuk mengganggu perkapalan di laluan air utama, yang mereka katakan sebagai tindakan solidariti dengan rakyat Palestin dalam perang di Gaza.

“Kedua-dua operasi itu berjaya mencapai objektif mereka, dan serangan adalah tepat serta langsung,” kata Sarea.

Tiada pengesahan bebas mengenai serangan tersebut, dan Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.

Houthi yang bersekutu dengan Iran pertama kali melancarkan serangan dron dan peluru berpandu di lorong perkapalan pada November tahun lalu. Dalam berpuluh-puluh serangan, mereka telah menenggelamkan dua buah kapal, merampas sebuah lagi kapal dan membunuh sekurang-kurangnya tiga pelaut. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini