SAN FRANCISCO: Jalinan hubungan yang erat antara China dengan Amerika Syarikat (AS) senantiasa menjadi harapan dalam kalangan rakyat dan masa depan hubungan ini turut bergantung kepada peranan golongan belia.
Demikian menurut Presiden China Xi Jinping ketika menyampaikan ucapan dalam jamuan anjuran komuniti tempatan AS pada Rabu.
Menurut Xi, rakyat turut mencipta masa depan hubungan China-AS, apatah lagi ketika hubungan kedua-dua negara menghadapi ketegangan, oleh itu mustahak untuk mengeratkan hubungan antara rakyat demi meningkatkan persefahaman.
“Kita perlu membina lebih banyak jambatan dan laluan untuk merapatkan interaksi dalam kalangan rakyat,” kata Xi.
Beliau berkata saling menghormati menjadi asas pergaulan antara individu dan juga norma asas hubungan China-AS.
“China menghormati jalan pembangunan dan sistem demokrasi AS, di samping negara ini juga berbangga dengan jalan sosialisme bercirikan China.
“Kedua-dua jalan itu merupakan pilihan rakyat negara masing-masing dan patut dihormati,” kata Xi.
Beliau menegaskan bahawa China tidak pernah mencampuri urusan dalaman AS dan tidak berniat mencabar malah menggantikan AS.
“Modenisasi yang diusahakan China bukan hanya menumpukan kepada kepentingan diri sendiri, sebaliknya menggambarkan visi negara ini yang bersedia bersama-sama pelbagai negara untuk merealisasikan modenisasi di seluruh dunia yang berorientasikan pembangunan aman, sama menang dan makmur bersama, di samping mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan,” kata Xi.
Presiden Xi turut mengumumkan bahawa dalam lima tahun akan datang, China akan mempelawa 50,000 belia AS datang ke China untuk belajar dan mengikuti program pertukaran bagi mempergiat pertukaran dalam kalangan rakyat terutamanya generasi muda.
Sementara itu, Xi turut mengalu-alukan lebih ramai gabenor, ahli Kongres dan tokoh-tokoh dari AS untuk melawat China. – BERNAMA-CMG