comscore
Tumpuan :
Dunia

Ibu buntu, anak 3 tahun miliki tabiat makan pelik

Wynter mempunyai tabiat pelik iaitu memakan apa yang ada di dalam rumah. – FOTO: Agensi

LONDON: Seorang ibu buntu dan memohon bantuan selepas menyedari anak perempuannya yang mempunyai tabiat pelik iaitu ‘memakan’ apa yang ada di dalam rumah.

Stacey A’Hearne, 25, berkata, keadaan itu menyebabkan dia perlu sentiasa memantau pergerakan Wynter yang berusia tiga tahun untuk menghalang anaknya mengunyah barang berbahaya.

Kanak-kanak itu disahkan menghidap penyakit autisme dan mengalami gangguan pemakanan luar biasa yang mencetuskan keinginan untuk makan objek tidak boleh dimakan, lapor Metro UK.

Lebih membimbangkan, Stacey melihat anak perempuannya itu memecahkan bingkai gambar dan cuba memakan beberapa serpihan kaca.

Pernah satu ketika, Wynter bangun pada waktu malam untuk mengunyah katil dan selimut yang digunakan.

Ibu kepada dua anak itu perlu berada dalam keadaan ‘berjaga-jaga’ kerana keadaan Wynter yang teruk.

“Dia benar-benar ‘makan’ seluruh rumah. Saya beli sofa baharu dan dia ‘makan’ sebahagian daripadanya.

“Dia sangat cerewet dengan makanan biasa, tetapi akan duduk dan makan span. Dia memecahkan kira-kira lapan bingkai gambar dan cuba makan kacanya.

“Tidak kira apa dia mencari cara untuk makan barangan yang tidak sepatutnya. Mujurlah, dia tidak pernah menyakiti dirinya sendiri kerana saya memantaunya dengan teliti dan sentiasa memerhatikannya,” katanya.

Stacey mula sedar Wynter memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya ketika bayi dan tidak menyangka ia sesuatu yang serius.

Katanya, anaknya itu melalui perkembangan seperti bayi lain dengan mula menyebut beberapa perkataan dan berjalan sehingga berusia 13 bulan.

Anak kecil itu mula tidak boleh bercakap dan gangguan pemakanan peliknya muncul, mendorong Stacey untuk menghubungi doktor.

Pada Januari lalu, Wynter didiagnosis dengan autisme, di samping menghidap ‘pika’ selepas menerima beberapa ujian lanjutan.

Stacey berkata, kebanyakan bayi sering memasukkan objek ke dalam mulut mereka, tetapi anaknya itu melakukan lebih kerap dan membuatkannya berfikir ia bukan sesuatu perkara biasa.

“Ppika mungkin berlaku dalam kalangan penghidap autisme, termasuk Wynter sendiri. Saya fikir ia berkait dengan deria dan dia menginginkan tekstur yang berbeza.

“Dia mempunyai ciri autisme yang serius menyebabkan tidak boleh bercakap dan mempunyai beberapa masalah berkaitan tingkah laku,” katanya.

Berikutan kekangan itu, Stacey terpaksa memberikan lebih perhatian kepada Wynter walaupun dia turut mempunyai seorang lagi bayi, Everlyn, berusia setahun. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini