comscore
Tumpuan :
Dunia

Ibu mengaku simbah air panas ke atas 4 anak yang disyaki curi wang

Foto hiasan

SINGAPURA: Seorang wanita semalam mengaku bersalah menyimbah air panas ke atas empat anaknya berusia antara lapan hingga 11 tahun kerana mendakwa mereka mencuri wangnya dua tahun lalu.

Ibu tunggal berusia 33 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan mendera kanak-kanak di bawah jagaannya. Tertuduh akan dijatuhkan hukuman pada Ogos ini.

Individu yang disabitkan kesalahan mendera kanak-kanak dalam jagaan boleh dipenjara sehingga lapan tahun, didenda sehingga $8,000 (RM27,848) atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Tin Shu Min berkata, pada 2 Julai 2022, wanita itu mengejutkan anak-anaknya untuk mandi sebelum ke sekolah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh meminta anak perempuan sulungnya mengambil $20 (RM69.60) dari dompetnya untuk membeli roti untuk sarapan.

Portal berita The Straits Times melaporkan apabila anaknya berkata hanya ada $5 (RM17.40) di dalam dompet itu, bukannya $60 (RM208), tertuduh mengesyaki seorang anaknya mungkin telah mengambilnya.

Tertuduh meminta kesemua anaknya mencari wang berkenaan sambil memerhati dan mengancam akan menyimbah air panas jika gagal menemuinya.

Tertuduh kemudian ke dapur, memasak air dan mengisinya ke dalam gelas sebelum kembali ke bilik tidur di mana anak-anaknya masih mencari wang itu dan menyimbah air panas ke atas mereka, meminta memulangkan wang itu.

Shu Min berkata apabila mangsa menafikan mereka mencuri wang, tertuduh ke dapur untuk mengisi semula air panas ke dalam gelas dan menyimbahnya ke arah mangsa.

Tertuduh mengulangi proses ini dua kali lagi untuk empat percikan, satu untuk setiap mangsa.

“Ketika tertuduh menyimbah air panas ke atas mangsa, mangsa menangis, berlari-lari di bilik tidur dan meminta maaf,” katanya.

Ketika tertuduh menanggalkan pakaian anaknya untuk mandi, dia menyedari badan anak-anaknya melecur sebelum menyapukan ubat dan menghubungi kakaknya.

Menurut dokumen mahkamah, kanak-kanak itu melecur antara satu hingga 10 peratus permukaan badan mereka.

Anak perempuannya yang berusia 10 tahun mengalami kecederaan paling serius iaitu melecur di lengan kiri, perut dan kedua-dua paha.

Shu Min berkata kemungkinan besar akan terdapat parut kekal akibat kecederaan itu.-AGENSI

 

Loading...
Terkini