
PORT SUDAN: Serangan udara dan artileri mengorbankan sekurang-kurangnya 56 orang di kawasan utama Khartoum pada Sabtu, menurut sumber perubatan dan aktivis, susulan pertempuran terbaru dalam peperangan dahsyat di Sudan.
Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF), terus bersaing merebut kuasa sejak April 2023, dengan pertempuran bertambah sengit bulan ini apabila tentera cuba merebut semula kawalan ke atas ibu kota.
Serangan artileri oleh RSF membunuh 54 mangsa dan mencederakan 158 lagi di pasar sibuk di Omdurman, kawasan di bawah kawalan tentera yang juga sebahagian daripada bandar utama Khartoum.
Serangan itu menyebabkan Hospital Al-Nao di bandar itu sesak, menurut sumber perubatan dan Kementerian Kesihatan.
“Peluru jatuh tepat di tengah-tengah pasar sayur, sebab itu jumlah mangsa dan yang cedera sangat ramai,” kata seorang mangsa yang terselamat.
RSF menafikan bertanggungjawab atas serangan itu, tetapi badan kebajikan perubatan Perancis, Doktor Tanpa Sempadan (MSF), menyifatkan tragedi itu sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’ di hospital tersebut.
Di Khartoum, dua orang awam maut dan puluhan lagi cedera akibat serangan udara di kawasan yang dikuasai RSF, menurut Emergency Response Room, kumpulan sukarela tempatan yang menyelaras bantuan kecemasan di Sudan.
Walaupun RSF menggunakan dron dalam serangan, termasuk pada Sabtu, tentera Sudan masih menguasai serangan udara dengan jet pejuang mereka. Kedua-dua pihak sering dituduh menyerang orang awam dan mengebom kawasan kediaman dengan sewenang-wenangnya.

Selain membunuh puluhan ribu orang, peperangan itu memaksa lebih 12 juta penduduk menjadi pelarian dan merosakkan infrastruktur rapuh di Sudan, menyebabkan kebanyakan kemudahan kesihatan tidak lagi beroperasi.
Setiausaha Agung MSF, Chris Lockyear, yang berada di Hospital Al-Nao pada Sabtu, berkata, ‘bilik mayat penuh dengan jenazah’.
“Saya dapat melihat kehidupan lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang musnah, dengan orang yang cedera terbaring di setiap ruang yang ada di bilik kecemasan sementara petugas perubatan melakukan apa yang mampu,” katanya dalam satu kenyataan.
Hospital Al-Nao, salah satu daripada beberapa kemudahan perubatan terakhir yang masih beroperasi di Omdurman, telah berkali-kali diserang. Menurut kesatuan doktor Sudan, sebuah peluru jatuh ‘hanya beberapa meter’ dari hospital itu.
Kesatuan itu menyatakan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, serta menyeru jururawat mahupun doktor di kawasan berdekatan supaya segera ke hospital untuk mengatasi ‘kekurangan teruk tenaga perubatan’.
Pertempuran di ibu kota berlaku beberapa minggu selepas tentera melancarkan serangan di tengah Sudan, merebut semula ibu negeri Al-Jazira, Wad Madani, sebelum mengalihkan tumpuan ke Khartoum.
RSF masih menguasai jalan antara Wad Madani dan Khartoum, tetapi pada Sabtu, militia sekutu tentera mendakwa telah menguasai bandar Tamboul, Rufaa, Al-Hasaheisa, dan Al-Hilaliya, kira-kira 125 kilometer (km) ke tenggara ibu kota.
Saksi berkata pengeboman Omdurman pada Sabtu datang dari pinggir barat bandar, kawasan yang masih dikuasai RSF. Serangan itu berlaku sehari selepas komander RSF, Mohamed Hamdan Daglo, berikrar untuk merampas semula ibu kota.
“Kami telah mengusir mereka (tentera) dari Khartoum sebelum ini, dan kami akan mengusir mereka sekali lagi,” katanya dalam ucapan video yang jarang disiarkan kepada pasukannya.
Pusat bandar utama Khartoum telah menjadi medan utama dalam hampir 22 bulan pertempuran antara tentera dan RSF, yang kini hampir musnah sama sekali. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.