Tumpuan :
Dunia

ICC keluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, atas dakwaan melakukan jenayah perang di Gaza.

ICC juga telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant,dan pemimpin kumpulan pejuang Hamas Mohammed Deif.

Bagaimanapun, Israel pada Ogos lalu mendakwa, telah membunuh Deif dalam serangan udara di Gaza.

ICC berkata terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant bertanggungjawab jenayah ke atas jenayah perang hingga menyebabkan krisis kemanusiaan.

ICC juga mempercayai bahawa Israel dengan sengaja menghentikan bantuan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan api untuk penduduk Gaza.

Menurut prosiding undang-undang ICC, 124 negara anggota akan diwajibkan menangkap Netanyahu dan Gallant jika memasuki mana-mana sempadan atau wilayah negara anggota ICC.

Sebelum ini, Netanyahu dan pemimpin Israel yang lain telah mengecam permintaan Ketua Pendakwa ICC Karim Khan untuk mendapatkan waran tangkap terhadap merela.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut mengecam pihak pendakwa raya ICC dan menyatakan sokongan terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri terhadap Hamas.

Selain itu, ICC berkata penerimaan Israel terhadap bidang kuasa mahkamah tidak diperlukan.

Serangan Tel Aviv melalui darat dan udara, telah membunuh 44,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Kira-kira 90 peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah dipaksa berpindah dari kediaman masing-masing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini