REYKJAVIK: Pengundi di Iceland memilih anggota Parlimen baharu pada Sabtu dalam pilihan raya awal yang diadakan susulan kejatuhan kerajaan gabungan tiga parti pimpinan Perdana Menteri Bjarni Benediktsson, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Hampir 270,000 orang layak mengundi di negara kepulauan kecil di Lautan Atlantik Utara itu.
Parlimen Iceland, Althing, mempunyai 63 kerusi dan kesemuanya akan dipertandingkan.
Pusat pengundian akan dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam (0900 hingga 2200 GMT) dan keputusan awal dijangka diumumkan pada pagi Ahad.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa keadaan cuaca buruk ketika ini mungkin menyebabkan kelewatan dalam proses pengundian dan pengiraan, terutamanya di kawasan timur negara itu.
Pilihan raya Parlimen di Iceland pada asalnya dijadualkan berlangsung pada akhir musim panas 2025.
Namun, kerajaan gabungan sedia ada berpecah pada pertengahan Oktober. – BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.