comscore
Tumpuan :
Dunia

Iktiraf negara Palestin, ‘keadilan’ buat rakyatnya – Sepanyol

Bendera Palestin masih berkibar di kawasan runtuhan bangunan akibat serangan Israel. Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares -FOTO: Reuters

BRUSSELS: Mengiktiraf Negara Palestin bukan saja memberikan keadilan bagi rakyat Palestin tetapi ia juga menandakan jaminan keselamatan terbaik untuk Israel, kata Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares dalam pertemuan bersama dengan Perdana Menteri Palestin, Mohammed Mustafa, semalam.

Mustafa yang mengalu-alukan langkah Sepanyol dan sebelum itu Norway dan Ireland, yang mengiktiraf negara Palestin pada Selasa, berkata, turut menginginkan setiap negara lain di Eropah melakukan perkara sama.

Albares dan Mustafa saling berdiri sebelah-menyebelah di Brussels, di mana pemimpin Palestin itu turut bertemu Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell dan Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide.

Lewat semalam, Mustafa mengadakan perbincangan lanjut dengan Borrell, Barth Eide dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan.

Hari ini beliau dijadualkan mengadakan satu lagi pertemuan di Brussels dengan Menteri Sepanyol, Norway dan Ireland.

Israel sebelum ini memberi amaran kepada Sepanyol, Norway dan Ireland, bahawa hubungan antara mereka akan menghadapi ‘akibat serius’ susulan pengiktirafan mereka terhadap negara Palestin.

Peperangan dahsyat Israel di Gaza sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober memberi dorongan kepada negara-negara yang mahukan pengiktirafan Negara Palestin.

Mereka berharap langkah ke arah penyelesaian dua negara yang sekian lama sukar difahami, dengan Israel dan negara Palestin, akan membina asas untuk keamanan Asia Barat.

Majoriti negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf kenegaraan Palestin.

Negara-negara Eropah tidak sependapat dalam isu terbabit.

Sepanyol, Norway dan Itali akan menyertai negara EU Bulgaria, Cyprus, Republik Czech, Hungary, Poland, Romania dan Sweden dalam mengiktiraf Negara Palestin.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, pengiktirafan negara Palestin dilihat usaha yang menangani ‘ketidakadilan yang sekian lama dikenakan ke atas rakyat Palestin selama beberapa dekad’.

“Kami berharap momentum pengiktirafan dan inisiatif ini akan berterusan,” katanya. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini