comscore
Tumpuan :
Dunia

Mahkamah perintah Johnson & Johnson bayar pampasan RM1.2 bilion pada wanita hidap kanser

WASHINGTON: Syarikat Johnson & Johnson (J&J) diperintahkan membayar AS$260 juta (kira-kira RM1.2 bilion) kepada seorang wanita di Oregon yang mendakwa mendapat barah mesothelioma berikutan terdedah dengan asbestos selepas menyedut serbuk talkum produk keluaran syarikat berkenaan.

Ia termasuk ganti rugi pampasan AS$60 juta (kira-kira RM281.4 juta), punitif AS$200 juta (kira-kira RM941.4 juta) dan untuk kedua-dua plaintif dan suaminya.

Naib Presiden litigasi seluruh dunia J&J, Erik Haas dalam kenyataan berkata, keputusan itu tidak dapat diselaraskan dengan dekad penilaian saintifik bebas yang mengesahkan talkum selamat, tiada kandungan asbestos, dan menyebabkan barah.

Katanya, syarikat akan mengemukakan rayuan dan yakin ia akan mendapat keputusan yang sebaliknya.

Plaintif dalam kes itu, Kyung Lee, disahkan mengidap mesothelioma pada 2023 ketika berusia 48 tahun.

Lee mendakwa dia terhidu talkum tercemar asbestos selama lebih 30 tahun, bermula apabila ibunya menggunakannya padanya ketika masih bayi dan kemudian apabila dia menggunakannya sendiri sebagai deodoran.

J&J mengekalkan bahawa produk talkumnya tidak mengandungi asbestos dan tidak menyebabkan barah dengan kajian saintifik selama beberapa dekad menyokong keselamatan mereka.

Seorang peguam untuk J&J berkata pada perbicaraan bahawa penyakit Lee berkemungkinan disebabkan oleh pendedahan kepada asbestos yang digunakan di sebuah kilang berhampiran tempat dia dibesarkan.

Menurut rekod, J&J berdepan tuntutan mahkamah daripada lebih 61,000 plaintif berhubung talkum.

Sebilangan besarnya adalah wanita yang menghidap barah ovari, dengan hanya minoriti kecil yang membabitkan penghidap mesothelioma.

Syarikat itu dikatakan menyelesaikan kebanyakan kes mesothelioma.

Perbicaraan dalam kes talkum mempunyai rekod bercampur-campur, dengan kemenangan plaintif utama termasuk penghakiman AS $ 2.1 bilion (kira-kira RM9.8 bilion) pada 2021 yang diberikan kepada 22 wanita penghidap barah ovari.

Pada April, J&J memenangi kes kanser ovari namun dikenakan hukuman AS $ 45 juta (kira-kira RM211 juta) dalam kes mesothelioma.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini