comscore
Tumpuan :
Dunia

IMF Beri AS$1.3 Bilion Bantuan Kecemasan Kepada Ukraine

WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengumumkan pengagihan dana kecemasan AS$1.3 bilion (RM6.03 bilion) kepada Ukraine menerusi program bantuan krisis makanan.

Pakej itu akan membantu Ukraine memenuhi keperluan pembayaran mendesak, di samping memainkan peranan sebagai pemangkin bagi menyokong kewangan masa depan daripada pemiutang dan penderma Ukraine.

“Skala dan ketegangan perang Russia menentang Ukraine yang bermula lebih tujuh bulan lalu menyebabkan penderitaan luar biasa dan masalah ekonomi.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar negara itu diunjur menguncup sebanyak 35 peratus pada tahun ini berbanding 2021 dan keperluan pembiayaan kekal besar.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mendedahkan bantuan oleh IMF itu semalam.

“Wang itu akan diterima Ukraine hari ini,” katanya di Twitter sambil mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan Pemberi Pinjaman Krisis, Kristalina Georgieva dan Lembaga Eksekutifnya.

IMF berkata pihak berkuasa Ukraine layak diberi pujian yang besar kerana mengekalkan tahap penting kestabilan makro-kewangan dalam keadaan yang sangat mencabar ini.

Sementara itu, Georgieva berkata, dasar utama menjurus ke arah melindungi perbelanjaan utama dan memelihara kestabilan kewangan.

“Pemiutang dan penderma yang berkaitan sudah memberi isyarat bahawa mereka berhasrat untuk terus menyokong kewangan Ukraine bagi membantu mencapai laluan pertumbuhan yang seimbang dan daya maju luaran jangka sederhana,” katanya.

Minggu lalu, Bank Dunia memberikan bantuan tambahan AS$530 juta (RM2,457 juta) kepada Ukraine untuk “memenuhi keperluan mendesak yang dicipta oleh pencerobohan Russia”.

Bank itu berkata ia sudah menggerakkan hampir AS$13 bilion (RM60.29 bilion) dalam pembiayaan kecemasan untuk Ukraine dan AS$11 bilion (RM51.01 bilion) daripadanya sudah dikeluarkan.

Pada hari yang sama, Kongres AS meluluskan pakej bantuan baharu sebanyak AS$12.3 bilion (RM57.04 bilion) untuk Ukraine, termasuk AS$3.7 (RM17.16) bilion dalam peralatan ketenteraan.

AS turut memberikan sejumlah AS$65 bilion (RM301 bilion) kepada Kyiv sejak Russia menyerang pada Februari lalu.

Presiden Vladimir Putin mengumumkan akhir bulan lalu bahawa Russia sudah menggabungkan empat wilayah di selatan dan timur Ukraine.

Bagaimanapun tentera Kyiv sejak beberapa minggu kebelakangan ini mengusir tentera Russia seluruh barisan hadapan, termasuk di bahagian Donetsk. – AFP

Loading...
Terkini