
COLOMBO: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memaklumkan pihaknya di peringkat kakitangan tidak mencapai persetujuan dengan Sri Lanka, dalam semakan pertamanya di bawah pakej menyelamat bernilai AS$2.9 bilion (RM13.6 bilion) ekoran ketidakupayaan negara itu susulan kekurangan penjanaan hasil kerajaan.
Bagaimanapun, IMF dalam satu kenyataan memuji pencapaian Sri Lanka yang mencapai kemajuan membanggakan dalam melaksanakan pembaharuan yang sukar namun sangat diperlukan.
Bagaimanapun, pasukan itu akan meneruskan perbincangan dalam konteks kajian pertama dengan matlamat untuk mencapai persetujuan peringkat kakitangan dalam tempoh terdekat.
Delegasi IMF yang diketuai Peter Breuer ke negara berkenaan berkata, walaupun terdapat tanda awal penstabilan, pemulihan ekonomi sepenuhnya masih belum terjamin bahkan momentum pertumbuhan juga kekal lemah.

Menurut badan kewangan antarabangsa itu, keuntungan mobilisasi hasil bertambah baik berbanding tahun lalu dan ia dijangka berkurang daripada unjuran awal sebanyak hampir 15 peratus menjelang akhir tahun.
Justeru, penyedia pinjaman global itu menyarankan Sri Lanka mengukuhkan pentadbiran cukai, menghapuskan pengecualian cukai dan secara aktif menangani isu pengelakan cukai sebagai langkah meningkatkan hasil serta membentuk tadbir urus lebih baik.