Seorang lelaki yang lumpuh akibat kemalangan basikal lebih sedekad lalu mampu berjalan kembali dengan menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh penyelidik di Switzerland.
Pakar saraf di Ecole Polytechnique Federale de Lausanne (E-P-F-L) mencipta kaedah rawatan dipanggil jambatan digital tanpa wayar yang mampu memulihkan sambungan yang hilang antara otak dan saraf tunjang.
Ia adalah rangkaian hubungan otak-saraf tunjang atau ‘brain-spine interface’ yang membolehkan Gert-Jan Oskam mengawal semula pergerakan kakinya, membolehkannya berdiri, berjalan dan juga menaiki tangga.
Teknologi itu juga membolehkannya memulihkan beberapa fungsi otak yang hilang sejak kemalangan, di mana dia dapat mempamerkan kemahiran motor meskipun teknologi itu dimatikan.
Gregoire Courtine, seorang profesor neurosains di E-P-F-L, berkata idea mereka adalah untuk mewujudkan semula komunikasi ini dengan ‘jambatan digital’ iaitu komunikasi elektronik antara otak dan kawasan saraf tunjang yang masih utuh dan boleh mengawal pergerakan kaki.
Tambahnya buat pertama kalinya, jambatan digital ini memintas kecederaan, memulihkan komunikasi antara dua kawasan sistem saraf pusat yang terputus.
Teknologi ini menggunakan kecerdasan buatan (A-I) untuk menukar pemikiran pergerakan kepada tindakan, selain mewujudkan hubungan langsung antara otak dan kawasan saraf tunjang.