
NEW DELHI: India akan mengurangkan harga lantai untuk eksport beras basmati dalam beberapa hari akan datang susulan aduan pengilang dan peniaga mengenai penurunan mendadak jualan bijirin aromatik premium di luar negara.
Menurut sumber, India akan menurunkan harga lantai basmati kepada AS$850 (RM3,985) satu tan untuk membantu pengilang dan peniaga menjual beras itu.
Bulan lalu, India menetapkan harga lantai atau harga eksport minimum (MEP) untuk penghantaran beras basmati pada AS$1,200 per tan.
Pihak berkuasa berkata MEP dikenakan untuk membantu New Delhi memastikan beras bukan basmati tidak dieksport sebagai beras basmati.
Pada Julai, India mengejutkan pembeli dengan mengenakan larangan ke atas eksport beras putih bukan basmati yang digunakan secara meluas, berikutan larangan eksport beras hancur tahun lalu.
“Keputusan untuk menurunkan MEP basmati akan membantu petani yang kehilangan hasil akibat penurunan eksport.
“Langkah itu juga akan membantu India mengekalkan kedudukan utamanya dalam pasaran beras basmati global, ” kata Presiden Persekutuan Pengeksport Beras India, Prem Garg.
Memandangkan beras basmati tidak digunakan secara meluas di India dan tanaman musim baharu akan mula tiba di pasaran mulai bulan depan, India akan menghadapi kelebihan stok gred unggul itu, kata Garg.
“Stok simpanan yang besar akan menjejaskan harga dan petani serta sektor beras India, maka langkah menurunkan MEP akan sangat membantu,” katanya.
India dan Pakistan secara eksklusif menanam beras basmati aromatik premium.
India menghantar kira-kira empat juta tan beras basmati ke negara-negara seperti Iran, Iraq, Yaman, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.
“MEP sebanyak AS$1,200 bagi setiap tan terlalu tinggi dan itulah sebabnya kebanyakan pengilang dan peniaga tidak dapat mengeksport beras basmati,” kata Vijay Setia, pengeksport terkemuka dari negeri Haryana, antara negeri jelapang padi negara itu. – REUTERS