comscore
Tumpuan :
Dunia

India-Bangladesh mula rundingan CEPA, fokus ‘visi bersama’

FOTO: Reuters

NEW DELHI: India dan Bangladesh akan memulakan rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) sebagai salah satu usaha kedua-dua negara jiran itu mengukuhkan hubungan sebagai sebahagian daripada “visi bersama” untuk masa depan.

Setiausaha Luar India, Vinay Mohan Kwatra berkata, kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan awal bagi memulakan proses perjanjian perdagangan bebas.

Sepuluh perjanjian ditandatangani pada Sabtu ketika lawatan negara Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina ke India.

Ia meliputi bidang seperti perikanan, teknologi digital, telekomunikasi, pengurusan bencana dan penjagaan kesihatan.

Satu memorandum persefahaman ditandatangani antara Kolej Staf Perkhidmatan Pertahanan di Wellington, selatan India dan Kolej Staf Komando dan Perkhidmatan Pertahanan di Mirpur, Bangladesh, untuk kerjasama dalam bidang pendidikan ketenteraan.

Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Hasina mengadakan perbincangan mengenai pelbagai perkara dua hala termasuk tenaga, pengangkutan, perkongsian air sungai serta kerjasama serantau dan isu global.

FOTO: Reuters

Turut dibincangkan, insiden tembakan oleh pengawal sempadan yang menyebabkan kematian dan kecederaan di kedua-dua belah pihak serta masalah Rohingya.

Mengenai pembunuhan kejam ahli parlimen parti pemerintah Bangladesh, Anwarul Azim Anar, yang melawat India bulan lalu, Setiausaha Luar India berkata agensi penguatkuasaan undang-undang dari kedua-dua negara sedang bekerjasama dalam siasatan dan selain melakukan pertukaran maklumat diperlukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini