comscore
Tumpuan :
Dunia

India lapor kes pertama mpox pantas merebak clade 1b

Foto: Reuters

NEW DELHI: India mengesahkan penularan jangkitan cacar monyet atau mpox, membabitkan seorang lelaki di negeri selatan Kerala daripada varian clade 1b yang lebih pantas merebak.

Penularan kes itu secara langsung menandakan kes pertama daripada strain baharu yang direkodkan di Asia Selatan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan India, Manisha Verma, mengesahkan jangkitan berkenaan selepas agensi berita ANI memetik sumber rasmi melaporkan kes mpox yang dilaporkan di daerah Malappuram, Kerala minggu lalu tergolong dalam kelas 1.

Pesakit itu adalah seorang lelaki berusia 38 tahun yang mengembara dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dimasukkan ke hospital kolej perubatan kerajaan di daerah itu, kata pihak berkuasa Kerala minggu lalu.

Menurut pegawai daerah Malappuram, Dr Shubin C, kira-kira 29 rakan dan ahli keluarga pesakit bersama 37 penumpang yang menaiki penerbangan sama sedang dipantau di rumah, namun tiada seorang daripada mereka menunjukkan simptom mpox setakat ini.

Dalam pada itu, Pejabat Menteri Kesihatan Kerala setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap butiran kes.

India, negara paling ramai penduduk di dunia, setakat ini tidak melaporkan kes mpox daripada strain baharu.

Namun, Pihak Berkuasa Persekutuan bulan ini mengeluarkan nasihat perjalanan kepada semua negeri untuk terus waspada dan bersedia menangani kebarangkalian kes.

Nasihat itu susulan penularan pantas yang mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan global selepas Republik Demokratik Congo dikenal pasti sebagai punca jangkitan itu merebak ke negara jiran.

India setakat ini melaporkan kira-kira 30 kes dan satu kematian daripada strain yang terlebih dahulu menular, dikenali sebagai clade 2, antara 2022 dan Mac tahun ini, serta satu lagi kes clade 2 awal bulan ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini