comscore
Tumpuan :
Dunia

Indonesia batal permit ISP enggan kerjasama banteras judi dalam talian

Foto hiasan

JAKARTA: Kementerian Komunikasi dan Maklumat Indonesia (Kominfo) merancang untuk membatalkan permit penyedia perkhidmatan rangkaian internet (ISP) yang enggan bekerjasama dalam usaha negara itu memerangi perjudian dalam talian.

Menterinya, Budi Arie Setiadi, menggesa ISP untuk menyegerakan secara automatik kemas kini senarai kandungan negatif, termasuk perjudian dalam talian, dalam sistem nama domain Trust Positive Kominfo (DNS).

“Pada masa ini, hanya 35 peratus daripada keseluruhan 1,011 ISP selesai diselaraskan secara automatik. Mereka yang didapati tidak patuh akan berdepan dengan pengumuman status mereka,” katanya pada sidang akhbar secara maya.

Beliau menekankan hasil ujian lapangan yang dijalankan antara 2023 hingga kini, mendedahkan bahawa daripada 136 sampel, 26 masih mempunyai akses kepada kandungan negatif, termasuk perjudian dalam talian dan pornografi.

Sebagai tindak balas, kementerian telah melaksanakan sekatan pentadbiran, kata Budi Arie, sambil menambah bahawa amaran awal dikeluarkan kepada 26 ISP, dengan amaran kedua ditujukan kepada tiga ISP lagi.

Platform digital seperti X, Telegram, Google, Meta dan TikTok juga akan dikenakan denda sebanyak 500 juta rupiah (RM146,439) jika mereka terus membenarkan penyebaran kandungan perjudian dalam talian di platform mereka.

Kominfo mengenal pasti 20,241 kata kunci berkaitan perjudian dalam talian di Google dari 7 November 2023 hingga 22 Mei 2024 dan 2,702 kata kunci di Meta dari 15 Disember 2022 hingga 22 Mei 2024.

“Ada 10 kata kunci utama berkaitan judi dalam talian pada minggu lepas iaitu slot langsung, slot RTP, laman slot, slot panas, slot pragmatik, kasino dalam talian, loteri, bonus slot dan CQ9,” tambah Budi Arie.

Indonesia membentuk pasukan petugas untuk menangani perjudian dalam talian, dengan Presiden Joko Widodo mengetuai perbincangan mengenai perkara itu dalam Mesyuarat Kabinet baru-baru ini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini