comscore
Tumpuan :
Dunia

Indonesia kecam serangan ke atas ibu pejabat UNRWA

 

JAKARTA: Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan bakar jahat yang dilakukan pelampau Israel dari wilayah diduduki ke atas ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Baitulmuqaddis Timur.

Kementerian Luar berkata insiden ini tidak dapat diterima kerana ia menjejaskan ibu pejabat sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang beroperasi dalam sektor kemanusiaan, mewujudkan satu duluan yang amat negatif untuk keselamatan bangunan, petugas dan lain-lain misi kemanusiaan PBB.

“Tindakan ganas ini berlaku di hadapan mata polis Israel dalam kawasan yang diduduki.  Sikap tidak peduli ini tidak boleh diterima dan membuktikan Israel bertanggungjawab ke atas perbuatan keganasan ini,” kata kementerian itu.

Menurutnya lagi, insiden ini menambah lagi senarai panjang keganasan, pendudukan haram dan pelbagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Israel.

“Majlis Keselamatan PBB perlu segera membuatkan Israel bertanggungjawab terhadap jenayah dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang terus dilakukannya.

Tiba masanya Majlis Keselamatan terutamanya mereka yang memegang kuasa veto untuk menunjukkan kepimpinan dan kebijaksanaan untuk keadilan, kemanusiaan dan keamanan,” kata kementerian itu pada Jumaat.

Ibu pejabat UNRWA di Baitulmuqaddis Timur ditutup sementara selepas serangan bakar jahat pada Khamis di tengah bantahan yang berminggu-minggu.

Dalam satu hantaran di media sosial, Ketua Pesuruhjaya Philippe Lazzarini berkata penduduk Israel menghidupkan api untuk membakar sebanyak dua kali pada perimeter pada petang Khamis.

Petugas UNRWA yang berada di lokasi insiden memadamkan api sendiri kerana bantuan daripada pihak berkuasa Israel yang lewat.

Ini merupakan insiden kegansan kedua dalam seminggu berikutan bantahan sama pada Selasa.   — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini