comscore
Tumpuan :
Dunia

Indonesia mahu projek feri RORO Dumai-Melaka diteruskan

Presiden Indonesia, Joko Widodo, menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja. Foto Reuters

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menekankan keperluan untuk meneruskan projek perkhidmatan feri pengangkut kenderaan (RORO) yang menghubungkan Dumai di wilayah Riau dengan Melaka, Malaysia.

Presiden Joko Widodo menjelaskan, projek itu akan meningkatkan kesalinghubungan koridor ekonomi bawah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Beliau dalam satu kenyataan berkata, ia selaras dengan keutamaan Indonesia untuk membina kesalinghubungan fizikal seperti pelabuhan, lapangan terbang dan jalan tol, termasuk Trans-Sumatera yang merentasi Pulau Sumatera.

Joko Widodo atau lebih mesra dikenali sebagai Jokowi, mengumumkan perkara itu di luar Sidang Kemuncak ASEAN, pada Sidang Kemuncak IMT-GT ke-14 di Phnom Penh, Kemboja, semalam.

Wilayah Riau dan Kerajaan Melaka dilaporkan akan membuka semula perbincangan mengenai kesinambungan projek feri RORO Dumai-Melaka selepas terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Gabenor Riau, H Syamsuar, serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis, mengadakan perbincangan itu pada Mei lalu.

Jokowi berkata, usaha mempercepatkan kesalinghubungan fizikal akan membantu pertumbuhan serta visi ekonomi subrantau itu untuk menjadi subrantau bersepadu, inovatif, inklusif dan mampan menjelang 2036.

Sektor pelancongan juga perlu dihidupkan semula melalui pemasaran digital, pembangunan pelancongan lestari dan pelancaran inisiatif Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025.

Walaupun pelancongan halal terus dibangunkan, beliau berkata, subrantau perlu mengenal pasti peluang ekonomi hijau yang tepat bagi mencapai pembangunan tenaga lestari, sebagaimana dinyatakan dalam Rangka Kerja Pembangunan Bandar Hijau 2019-2036. – BERNAMA

Loading...
Terkini