Tumpuan :
Dunia

Indonesia pindah 16,000 penduduk selepas Gunung Lewotobi Laki-laki meletus

Runtuhan bangunan sekolah yang rosak akibat letusan gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di Flores Timur, Indonesia, pada 4 November 2024. FOTO: Reuters

JAKARTA: Kerajaan Indonesia berusaha untuk memindahkan sekurang-kurangnya 16,000 penduduk dari perkampungan di sekitar Gunung Lewotobi Laki-laki yang aktif, selepas gunung berapi itu meletus dan menyebabkan sembilan orang terbunuh serta merosakkan ribuan rumah.

Gunung Lewotobi Laki-laki, yang terletak di Pulau Flores, Wilayah Nusa Tenggara Timur, meletus pada malam Ahad lalu, diikuti oleh letusan kecil pada malam semalam.

Pemindahan penduduk dilaporkan berdepan halangan oleh debu tebal di beberapa jalan, menurut seorang pegawai.
Sehingga pagi ini, kira-kira 2,472 daripada 16,086 penduduk dari lapan kampung telah dipindahkan, menurut Heronimus Lamawuran, jurucakap pemerintah daerah Flores Timur.

“Kami merancang untuk memindahkan penduduk secara sementara sehingga ia selamat untuk mereka kembali ke kampung masing-masing,” katanya.

Penduduk dipindahkan ke tiga bangunan sekolah dan tempat perlindungan sementara di kampung lain sekitar 20 kilometer (km) dari kawah, tambah Heronimus.

“Kami mengerahkan lebih banyak lori bersama anggota tentera dan polis untuk membantu pemindahan hari ini,” katanya.

Pihak berkuasa telah mengesahkan jumlah kematian kepada sembilan orang dari sebelumnya sepuluh, dengan 63 cedera dan sekitar 2,384 rumah serta sekurang-kurangnya 25 sekolah rosak.

Kerajaan tempatan telah mengisytiharkan darurat selama 58 hari, yang bermaksud Kerajaan Pusat dapat membantu menyediakan bantuan kepada penduduk.

Empat lapangan terbang kecil di Pulau Flores telah ditutup akibat letusan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini