comscore
Tumpuan :
Dunia

Indonesia terajui kerjasama dengan Turkiye dalam sektor peranti perubatan

JAKARTA: Kementerian Perindustrian Indonesia baru-baru ini menganjurkan forum perniagaan mengenai sektor peranti perubatan di Istanbul, Turkiye bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara pemain industri dari kedua-dua negara.

Menurut kementerian, acara itu yang menyasarkan pasaran Eropah dan Asia Barat, berusaha untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pengedaran, penyelidikan, pembangunan dan pelaburan.

Inisiatif itu juga menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman, termasuk perjanjian pengedaran antara PT Haloni Jane Tbk dan ERK Medikal Saglik Hizmetleri untuk bekalan sarung tangan lateks bernilai US$9 juta (US$1=RM4.73).

PT Atra Widiya Agung dan Uzman Sterilisation System turut memeterai perjanjian untuk bekerjasama dalam pemasangan dan pengedaran sistem kontena di Indonesia dari 2024 hingga 2027 dengan nilai US$1.5 juta.

“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan eksport bagi sektor peranti perubatan tempatan,” kata Pengarah Industri Pemesinan kementerian, Yan Sibarang Tandiele dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan bahawa industri logam, mesin, peralatan pengangkutan dan elektronik Indonesia kini berkembang pada kadar 12.09 peratus.

Pada masa ini, Persatuan Pengilang-pengilang Peranti Perubatan Indonesia terdiri daripada 209 syarikat yang menghasilkan barangan seperti ventilator, perabot hospital dan pakaian perubatan.  — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini