Tumpuan :
Dunia

Indonesia umum pembubaran JI di Solo

Pasukan antipengganas Indonesia, Densus 88, meneruskan usaha menentang radikalisasi dan keganasan dengan memantau secara teliti kegiatan ekstremis. – FOTO: DENSUS 88

JAKARTA: Badan Nasional Anti-Keganasan (BNPT) Indonesia dan Pasukan Khusus 88 Anti-Pengganas (Densus 88) Polis mengadakan deklarasi pembubaran Jemaah Islamiyah (JI) di Solo, Jawa Tengah pada Sabtu.

Acara itu menandakan aktiviti ke-45 dan terakhir dalam siri program sama yang diadakan di seluruh negara, kata Pesuruhjaya Jeneral Polis BNPT, Eddy Hartono dalam satu kenyataan.

Bekas anggota JI turut mengangkat Sumpah Taat Setia kepada perpaduan Indonesia sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan prinsip teras negara seperti Pancasila, demokrasi, dan hak asasi manusia.

Eddy menekankan kepentingan sokongan berterusan kepada bekas anggota JI, termasuk bimbingan, latihan dan aktiviti seperti wawasan kebangsaan dan keusahawanan.

“Ini akan membolehkan mereka hidup aman dan harmoni dalam masyarakat kita yang berbilang budaya,” katanya semasa acara yang diadakan di Dewan Konvensyen, Terminal Tirtonadi.

Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menerima bekas anggota JI, sambil menegaskan kepentingan pendekatan lembut dalam program seumpama itu.

Deklarasi itu turut disambut baik oleh bekas anggota JI, Siswanto yang menyeru semua tindakan ekstremis dihentikan.

Listyo menjelaskan bahawa proses itu, yang bermula dengan deklarasi pertama pada 30 Jun 2024, kini mencapai aktiviti ke-45, dan berharap ia menjadi langkah terakhir ke arah integrasi penuh dengan negara dan masyarakat, sekali gus menghapuskan ekstremisme.

JI, yang ditubuhkan pada awal 1990-an dengan matlamat mewujudkan ‘negara Islam’ di Asia Tenggara, terkenal kerana terlibat dalam kes pengeboman maut di Bali pada 12 Okt 2002. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini