SEOUL: Bekas ketua polis daerah di Seoul dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh mahkamah, selepas didapati bersalah dalam insiden rempuhan ketika sambutan perayaan Halloween sehingga mengorbankan lebih 150 nyawa, dua tahun lalu.
Menurut agensi berita Yonhap, bekas ketua polis daerah Yongsan, Lee Im-jae, didapati bersalah kerana gagal menghalang rempuhan terbabit, sebelum dijatuhi hukuman berkenaan oleh Mahkamah Daerah Barat Seoul.
Insiden pada 29 Oktober 2022 itu menggemparkan masyarakat apabila ratusan terkorban ketika puluhan ribu orang menikmati perayaan Halloween di Itaewon.
Kebanyakan mangsa maut apabila dirempuh dan dihempap susulan keadaan sudah tidak terkawal sebaik sahaja mereka memasuki laluan sempit di antara bar dan kelab.
Sementara itu, seorang lagi bekas pegawai yang menjaga pusat kecemasan polis Yongsan dijatuhi hukuman penjara dua tahun atas tuduhan sama.
Mahkamah juga dijangka membuat satu lagi keputusan membabitkan pegawai tempatan Park Hee-young dan ketua pejabat Wad Yongsan, atas tuduhan sama.
Awal tahun ini, dua bekas pegawai kanan polis dijatuhi hukuman penjara kerana memusnahkan bukti yang dikaitkan dengan rempuhan itu, sekaligus menjadikan mereka pegawai pihak berkuasa pertama yang dijatuhkan hukuman berhubung insiden terbabit.
Bekas ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul, Kim Kwang-ho, juga dibicarakan dan sedang menunggu keputusan atas tuduhan kecuaian profesional yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.
Pendakwa raya memohon tempoh lima tahun hukuman, dengan keputusan dijangka diketahui bulan depan.
Kwang-ho menafikan sebarang salah laku dan memaklumkan mahkamah pada April lalu, langkah pencegahan sebenar harus dilakukan daripada menjadikan individu tertentu sebagai kambing hitam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa