NEW YORK: Pelancaran serangan peluru berpandu terbaharu Iran terhadap rejim Israel adalah kerana negara itu tidak mempunyai pilihan lain berikutan kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu terhadap sasaran ketenteraan dan keselamatan rejim Israel,” kata Wakil Tetap Misi Iran dalam sepucuk surat kepada Presiden Majlis Keselamatan PBB yang dikongsi bersama wartawan, lapor Sputnik.
Menurut wakil tetap itu, adalah dikesali bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal dalam tugas asasnya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Kegagalan ini menyebabkan Republik Islam Iran tiada pilihan selain melaksanakan hak sahnya di bawah undang-undang antarabangsa untuk mengambil tindakan yang sah dalam mempertahankan keselamatan negara dan kepentingan pentingnya,” katanya.
Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel pada malam Selasa sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin pejuang yang disokong Tehran, mencetuskan kebimbangan di seluruh wilayah dan ikrar untuk membalas dendam.
Tentera Israel mengumumkan perkara itu selepas kira-kira sejam serangan berkenaan berakhir dengan sejumlah besar peluru berpandu yang pihaknya dakwa berjaya dipintas.
Sebelum ini, tentera Israel mendakwa bahawa Iran mula melancarkan peluru berpandu ke kawasan Palestin yang diduduki rejim itu.-BERNAMA/SPUTNIK
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa