WASHINGTON: Iran menafikan terlibat dalam sebarang rancangan pembunuhan terhadap calon presiden Parti Republikan, Donald Trump selepas calon presiden Republikan itu mendakwa Tehran telah membuat “ancaman besar” terhadap nyawanya.
Timbalan Presiden Urusan Strategik Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, pihaknya tidak sesiapa untuk melakukan pembunuhan.
“Kami tidak menghantar orang untuk membunuh orang lain. Saya rasa ini adalah taktik kempen.
“Iran tidak mempunyai kecenderungan dalam pilihan raya ini. Kami tidak campur tangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat,” tegas Zarif kepada sebuah laporan portal antarabangsa.
Zarif turut menolak idea bahawa kerajaan Iran terlibat dalam sebarang usaha penggodaman terhadap kempen Trump.
Terdahulu, pegawai perisikan AS memberikan taklimat kepada calon presiden Parti Republikan, Donald Trump mengenai rancangan yang disyaki dari Iran untuk membunuhnya, menurut sebuah laporan portal antarabangsa.
Taklimat itu disampaikan Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan mengenai ancaman yang nyata dan khusus dari Iran untuk membunuhnya dalam usaha untuk menggugat kestabilan dan mencetuskan kekacauan di AS.
“Pegawai risikan telah mengenal pasti bahawa serangan yang berterusan dan terkoordinasi ini telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” kata jurucakap bekas presiden AS itu, Steven Cheung.
Cheung berkata, pegawai penguatkuasa undang-undang sedang berusaha memastikan Trump dilindungi dan pilihan raya presiden pada 5 November bebas daripada campur tangan.
Pada Ogos, agensi perisikan AS menyalahkan Iran berhubung penggodaman terhadap kempen Trump.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.