TEHRAN: Pihak berkuasa Iran merancang langkah-langkah untuk mengusir kira-kira dua juta pendatang tanpa izin menjelang akhir Mac 2025.
Kenyataan dikeluarkan Komander Pasukan Keselamatan, Ahmad-Resa Radan, dalam satu wawancara bersama media hari ini.
Perdebatan mengenai bilangan besar migran dari Afghanistan yang berada di Iran telah berlarutan selama beberapa bulan.
Dalam satu wawancara televisyen hari Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Iran, Eskandar Momeni, menekankan keadaan sukar yang dihadapi oleh rakyat Afghanistan, sambil menyifatkan mereka sebagai “orang yang berbudaya”, tetapi menambah bahawa Iran “tidak dapat menampung begitu ramai migran.”
“Kami mempunyai rancangan untuk menangani perkara ini dengan cara yang teratur dan tidak tergesa-gesa, dan keutamaan adalah kepada migran haram,” kata Momeni.
Menurut Agensi Pelarian PBB, kira-kira 4.5 juta pelarian Afghanistan kini tinggal di Iran, kebanyakannya tanpa permit.
Media Iran percaya bahawa jumlah yang tidak rasmi adalah jauh lebih tinggi.
Beberapa anggaran meletakkan jumlah migran Afghanistan di negara tersebut antara enam juta hingga lapan juta.
Di bandar-bandar besar, ramai daripada mereka bekerja dalam sektor upah rendah, contohnya di pasar raya kecil atau di tapak pembinaan. – BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.