comscore
Tumpuan :
Dunia

Israel lancar serangan darat di perkampungan dekat sempadan Lubnan

Anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) memandang ke arah sempadan Lubnan-Israel, ketika mereka berdiri di atas bumbung sebuah menara kawalan di bandar Marwahin, di selatan Lubnan. – FOTO: Reuters

BEIRUT: Rejim Zionis memaklumkan pasukannya sudah memulakan serangan darat dengan menyasarkan kawasan kampung di selatan Lubnan.

Tentera Israel dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan ketenteraan disokong serangan udara dan artileri itu dilancarkan beberapa jam lalu, menyasarkan Hizbullah di kampung berhampiran sempadan Israel.

Sementara itu malam tadi, pasukan tentera Lubnan dilaporkan berundur kira-kira lima kilometer (km) dari kawasan sempadan dengan Israel susulan risiko serangan darat dilancarkan rejim Zionis dilihat semakin hampir.

Bercakap kepada Reuters, sumber keselamatan Lubnan berkata, pasukan tentera berundur kira-kira lima km dari kedudukan di sepanjang sempadan selatan negara itu dengan Israel, manakala jurucakap tentera pula tidak mengesahkan atau menafikan perkara terbabit.

Tindakan itu dibuat selang beberapa hari selepas Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah, dibunuh rejim Zionis pada Jumaat lalu, susulan lonjakan ketegangan serantau.

Pembunuhan Hassan itu adalah tamparan paling hebat sejak beberapa dekad terhadap Hizbullah dan Iran dengan ia berlaku selepas serangan udara intensif selama dua minggu.

Hassan adalah pemimpin paling berkuasa dalam ‘Pakatan Penentang Paksi Kejahatan’ Tehran bagi menundukkan kepentingan Israel dan Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat.

Timbalan pemimpin Hizbullah, Naim Qassem, menerusi ucapan sulungnya selepas kematian Nasrallah, berkata ‘pasukan pejuangnya bersedia untuk serangan darat.

Beliau juga menjelaskan, pemilihan setiausaha agung baharu Hizbullah akan dibuat secepat mungkin, selain memaklumkan pergerakan itu berterusan membedil roket sejauh 150km ke wilayah Israel.

“Kita maklum pertempuran ini mungkin berpanjangan. Kami akan menjuarainya seperti kemenangan ketika pembebasan 2006,” katanya merujuk kepada konflik besar kali terakhir antara kedua-dua pihak.

Tentera Lubnan berada dalam konflik dengan Israel sepanjang tempoh setahun lalu, namun tidak melakukan serangan secara langsung ke atas rejim Zionis.

Israel pula mengisytiharkan kawasan sekitar komuniti Metula, Misgav Am, dan Kfar Giladi di utara, berhampiran sempadan Lubnan sebagai zon ketenteraan tertutup.

Kementerian Kesihatan Lubnan hari ini, memaklumkan sekurang-kurangnya 95 terbunuh, manakala 172 lagi cedera susulan serangan Israel di timur Lembah Bekaa dan Beirut, dekat selatan Lubnan, dalam tempoh 24 jam lalu.

Anggota pasukan penyelamat dilihat berdiri diatas bangunan yang runtuh bagi menyelamatkan mangsa yang masih hidup selain anggota badan, cebisan manusia dan jasad mereka yang syahid.

Sementara itu, sumber menjelaskan, serangan dilancarkan rejim Zionis menjejaskan kawasan pinggir selatan Beirut.

Malah, wartawan Reuters menyaksikan cahaya dan siri letupan kuat, kira-kira sejam selepas tentera Israel memberi amaran kepada penduduk supaya mengosongkan kawasan berhampiran bangunan yang didakwa menempatkan infrastruktur Hizbullah, dekat selatan ibu negara Lubnan.

Seorang pegawai AS yang enggan dikenali memberitahu Reuters bahawa risiko pencerobohan darat di Lubnan tidak dapat dinafikan berdasarkan kedudukan tentera Israel ketika ini.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, ketika memaklumkan ketua majlis tempatan di utara Israel pula berkata, fasa perang seterusnya di sempadan selatan Lubnan akan bermula tidak lama lagi.

Keadaan itu, katanya, akan menyokong matlamat untuk membawa pulang rakyat Israel yang melarikan diri susulan bedilan roket Hizbullah, sepanjang hampir setahun perang di kawasan sempadan.

Beliau, ketika memaklumkan pergerakan pasukan tentera pula berkata: “Kita akan menggunakan semua kaedah yang mungkin diperlukan – semua pasukan dari udara, laut dan di darat”. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini