
DOHA: Rundingan antara Israel dan Hamas berjaya mencapai perjanjian untuk menamatkan perang di Gaza yang telah berlangsung selama 15 bulan, menurut kenyataan Amerika Syarikat (AS) dan Qatar pada Rabu.
Perjanjian kompleks tersebut merangkumi gencatan senjata awal selama enam minggu, penarikan secara beransur-ansur tentera Israel dari Gaza, serta pembebasan tebusan oleh Hamas sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin di Israel.
Presiden Joe Biden mengesahkan perkara itu dan yakin keputusan terbabit membuka jalan kepada peningkatan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang terkesan akibat perang berpanjangan.
“Hari ini, selepas berbulan-bulan diplomasi intensif yang diterajui Amerika Syarikat bersama Mesir dan Qatar, Israel dan Hamas mencapai gencatan senjata serta perjanjian tebusan,” kata Biden dalam kenyataan rasminya.
Sementara itu, Presiden terpilih AS, Donald Trump turut memaklumkan bahawa jeda kemanusiaan telah dicapai antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas melibatkan pertukaran tahanan.
“Kami telah mencapai perjanjian untuk para tahanan di Timur Tengah. Mereka akan dibebaskan tidak lama lagi,” tulis Trump di Truth Social.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dalam sidang akhbar di Doha mengumumkan bahawa gencatan senjata itu akan bermula pada Ahad ini.
Beliau menyatakan bahawa perunding sedang bekerjasama dengan Israel dan Hamas bagi memastikan pelaksanaan langkah-langkah perjanjian itu.
Di Gaza, penduduk keluar ke jalanan untuk meraikan berita perjanjian tersebut, selepas berbulan-bulan menghadapi krisis kemanusiaan dengan kekurangan bekalan makanan, air, dan bahan api yang teruk.
Fasa pertama perjanjian itu akan menyaksikan pembebasan 33 tebusan Israel, termasuk wanita, kanak-kanak, dan lelaki berusia lebih 50 tahun.
Pegawai Hamas, Sami Abu Zuhri, menyifatkan perjanjian itu sebagai kejayaan besar.
“Hamas juga telah menyerahkan persetujuannya kepada para perantara untuk perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan,” ujarnya.
Perang yang bermula pada 7 Oktober 2023 telah meragut lebih 46,000 nyawa. Malah, ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini bergelut menghadapi musim sejuk dalam khemah dan penempatan sementara.
Jika berjaya, gencatan senjata itu akan menghentikan pertempuran yang telah menyebabkan sebahagian besar kawasan Gaza musnah dan mengakibatkan hampir seluruh penduduknya yang berjumlah 2.3 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.