comscore
Tumpuan :
Dunia

Israel rampas Hospital al-Amal

FOTO: Reuters

GAZA: Sebuah hospital seliaan Persatuan Bulan Merah Palestin (PRCS) di Khan Yunis, dirampas rejim Zionis pada Jumaat, selepas fasiliti kesihatan itu dikepung sejak beberapa minggu lalu.

PRCS menerusi satu kenyataan, berkata rejim Zionis menyerbu Hospital al-Amal, selain memaklumkan sukar untuk berkomunikasi dengan pasukan di dalam fasiliti itu.

Rejim Zionis turut menahan lapan ahli pasukan berkenaan, termasuk ’empat doktor dan individu cedera serta lima rakan pesakit’ di hospital itu.

Hospital al-Amal terbabit dalam pertempuran sengit antara tentera Israel dan pejuang Hamas, dengan Bulan Sabit Merah melaporkan ‘bedilan artileri dan tembakan senjata berat’ berlarutan di sekitar hospital, kelmarin.

FOTO: Reuters

Organisasi perubatan itu berulang kali merayu memohon bekalan dan perlindungan sejak beberapa hari lalu, selain melaporkan dalam keadaan yang amat kekurangan bekalan oksigen serta ubat-ubatan, dan juga bahan api untuk menjana kuasa.

Bulan Sabit Merah awal minggu ini memaklumkan, kira-kira 8,000 orang mendapatkan perlindungan di al-Amal dan ibu pejabatnya berhampiran Khan Yunis telah dipindahkan.

PCRS Isnin lalu, berkata seramai 80 pesakit dan 100 kakitangan masih berada di fasiliti itu selepas proses pemindahan dilakukan.

Berdasarkan undang-undang perang, hospital diberi perlindungan khas, tetapi fasiliti itu berulang kali disasarkan di Gaza sejak empat bulan lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Rabu lalu, pula berkata, tiada hospital yang berfungsi sepenuhnya di Palestin, malah lebih sepertiga daripada angka itu beroperasi pada kapasiti terhad.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini