comscore
Tumpuan :
Dunia

Israel serang sekolah UNRWA, 32 terbunuh

FOTO: Reuters

GAZA: Lagi tindakan tidak berhati perut tentera rejim Zionis menyasarkan sekolah milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNRWA).

Serangan mengorbankan sekurang-kurangnya 32 nyawa dengan puluhan lagi cedera dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Pihak tentera rejim mengesahkan serangan ke atas sekolah itu dan ia bukanlah kali pertama tentera rejim bertindak sedemikian.

Alasan lapuk tentera rejim, tempat terbabit menjadi lokasi Pejuang Hamas yang merancang untuk melancarkan serangan ke atas tenteranya.

FOTO: Reuters

Malah Ketua Pertahan Israel dipetik berkata, walaupun rundingan bagi gencatan senjata kekal masih berlangsung namun serangan ke atas Gaza akan tetap diteruskan.

Hamas dalam kenyataan balasnya menafikan tuduhan tidak masuk akal Israel dan mengutuk tindakan kejam rejim itu.

Terdahulu, tentera rejim dilaporkan membunuh lebih 100 penduduk Palestin.

Mangsa termasuk individu yang maut dalam serangan ke atas Kem Pelarian Bureij dan Kem Pelarian Maghazi yang juga terletak di wilayah tengah Gaza.

FOTO: Reuters

Petugas sukarelawan Doctors Without Borders dalam kenyataannya memberitahu, kumpulan terbabit menerima 70 mayat sejak Selasa lalu dengan kebanyakannya dibawa dalam beg plastik.

Situasi menjadi huru-hara dengan lebih 300 lagi cedera dengan mangsa bersesak-sesak di dalam hospital.

Perang yang tercetus sejak 7 Oktober lalu telah meragut lebih 37,000 penduduk Palestin dengan lebih 15,000 daripadanya adalah kanak-kanak. – AL JAZEERA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini