comscore
Tumpuan :
Dunia

Israel tawan semua akses bantuan ke Gaza, kuasai Koridor Philadelphi

Anggota paramedik mengangkat seorang pemuda Palestin yang tercedera susulan serangan berterusan oleh zionis ke atas Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada Sabtu. Foto: Reuters.

GAZA: Israel memperketatkan sekatan tentera di sepanjang sempadan Semenanjung Gaza di sini, empat hari selepas mengumumkan pihaknya telah menguasai Koridor Philadelphi di sepanjang sempadan Palestin-Mesir.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa langkah itu memutuskan hubungan geografi antara Gaza dengan Mesir; sekali gus membolehkan Israel menghalang atau menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Wilayah itu sedang mengalami krisis kemanusiaan terburuk akibat serangan berterusan tentera rejim sejak 7 Oktober lepas.

Seramai 2.3 juta rakyat Palestin yang tinggal di Semenanjung Gaza dijangka terjejas dengan perkembangan itu dengan hampir semua mereka sudah pun menghadapi kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan yang teruk akibat sekatan Israel.

Menurut kenyataan Pejabat Media Gaza, rakyat Palestin yang telah kehilangan tempat tinggal beberapa kali dan bergantung kepada bantuan harian, memerlukan lebih tujuh juta sajian makanan setiap hari disebabkan oleh sekatan Israel.

Pada 7 Mei, tentera Israel melancarkan serangan darat ke atas Rafah di selatan Gaza yang menjadi tempat perlindungan bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Keadaan menjadi semakin teruk selepas Israel merampas Lintasan Sempadan Rafah di sebelah Palestin antara Gaza dan Mesir, dan menutup pintu sempadan tersebut.

Situasi itu menjadikan bantuan melalui Rafah atau pemindahan penduduk yang cedera yang memerlukan rawatan di luar Gaza mustahil dilakukan.

Mesir mengisytiharkan bahawa ia tidak akan menerima dasar baharu Israel dan pemaksaan mereka di Lintasan Sempadan Rafah dan enggan berkoordinasi dengan Israel.

Menurut Kaherah, tindakan penutupan pintu sempadan itu hanya akan memburukkan lagi krisis di Gaza.

– BERNAMA

Loading...
Terkini