comscore
Tumpuan :
Dunia

Itali melancarkan pakej bantuan €9.1 bilion tangani kos tenaga melambung tinggi

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni

ROM, Itali: Kerajaan Itali melancarkan pakej €9.1 bilion (AS$9.4 bilion) bagi membantu perniagaan dan keluarga yang bergelut menangani kos tenaga yang melambung tinggi.

Mengumumkan rancangan itu, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni berkata pakej itu akan menyediakan “tindak balas segera” terhadap keperluan ekoran bil tenaga yang lebih tinggi.

Bedasarkan data sementara Institut Perangkaan Kebangsaan Itali (ISTAT), kos tenaga di negara itu pada Oktober adalah 73.2 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Harga tenaga global mula meningkat pada Februari, selepas bermulanya konflik antara Rusia dan Ukraine.

Sejak itu Rusia telah mengurangkan sebahagian besar bekalan gas aslinya kepada negara anggota Kesatuan Eropah, termasuk Itali.

Itali amat terdedah kepada perubahan harga tenaga, kerana ia bergantung kepada import tenaga bagi tiga perempat daripada jumlah penggunaan tenaganya.

Sebelum krisis di Ukraine, Rusia merupakan pembekal tenaga tunggal terbesar Itali, menyumbang 40 peratus daripada jumlah gas asli yang digunakannya. Angka itu kini turun kepada 15 peratus, dan semakin berkurangan.

Itali pada masa ini hanya mengeluarkan 5 peratus daripada keperluan gas aslinya di dalam negara.

Pakej bantuan terbaharu yang merupakan perundangan utama pertama kerajaan baharu Meloni, mengikuti siri pakej bantuan serupa yang diluluskan oleh kerajaan Mario Draghi. Menurut laporan media, pakej Draghi berjumlah sekitar €66 bilion.

Pakej itu termasuk kredit cukai terhadap perbelanjaan tenaga untuk perniagaan dalam industri intensif tenaga, mengurangkan cukai ke atas pengagihan bahan api, satu langkah yang dijangka menurunkan harga di pam petrol sekitar 0.3 euro seliter.

Terma itu akan terus berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini, kata Meloni.

Langkah baharu ini akan membolehkan perniagaan membahagikan bil tenaga mereka kepada sebanyak 36 ansuran, dan syarikat tenaga akan dilindungi daripada kemungkinan lalai melalui jaminan kerajaan. – BERNAMA

Loading...
Terkini