comscore
Tumpuan :
Dunia

Jadi mangsa buli dorong budak lelaki 12 tahun tembak mati rakan sekelas – Polis

Bendera Finland dikibarkan separuh tiang di sekolah Viertola, berikutan insiden tembakan di sekolah itu, di Vantaa, Finland, semalam. FOTO: Reuters

HELSINKI: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang disyaki menembak mati rakan sekelas serta mencederakan dua kanak-kanak perempuan di sebuah sekolah di Finland, berkemungkinan sudah merancang tindakan itu, kata polis hari ini.

Polis berkata suspek ketika disoal siasat memaklumkan dirinya ‘menjadi mangsa buli’ sehingga mendorong perbuatan itu.

Kejadian tembakan yang berlaku pada awal pagi Selasa itu mengejutkan Finland apa lagi ia terjadi di sebuah sekolah di bandar keempat terbesar di negara itu, iaitu Vantaa, di utara ibu negara Helsinki.

Ketua siasatan, Detektif Inspektor Marko Sarkka berkata, siasatan awal pihaknya mendapati perbuatan itu sudah dirancang.

“Peranti seperti telefon bimbit dan komputer milik suspek yang dirampas itu mendedahkan bahan yang menyokong pandangan ini,” katanya.

Katanya, budak lelaki itu hanya menjadi pelajar di sekolah Viertola sejak awal tahun lalu.Mangsa yang terbunuh membabitkan kanak-kanak lelaki warga Finland juga berusia 12 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dan suspek sempat melarikan diri dari sekolah ketika polis tiba di tempat kejadian.

Suspek berjaya diberkas satu jam selepas kejadian dan pada ketika itu dia masih membawa pistol dan disebabkan masih bawah umur, suspek kini diserahkan kepada pihak berkuasa kebajikan kanak-kanak.

Pistol yang digunakan dalam tembakan itu adalah milik saudara terdekat dan kini sedang disiasat “sebagai kesalahan berasingan kerana memiliki senjata api”.

Polis berkata, kedua-dua kanak-kanak perempuan kini masih berada di hospital dan berharap untuk menemu bual seorang daripada mereka.

Sekolah Viertola mempunyai kira-kira 90 kakitangan dan 800 murid berumur tujuh hingga 15 tahun dan masih beroperasi selepas kejadian namun tempoh operasi dipendekkan.

Polis berkata penyiasatan sedang dilakukan dengan pantas berdasarkan keadaan tetapi memaklumkan ia akan mengambil masa berbulan-bulan untuk memuktamadkan siasatan awal.

Selepas membuka penyiasatan ke atas pembunuhan dan cubaan membunuh, mereka sudah memeriksa tempat kejadian secara forensik dan meneruskan soal siasat yang meluas dengan pelajar, ibu bapa, saksi dan kakitangan sekolah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini