comscore
Tumpuan :
Dunia

Jalan rosak, kurang bahan api halang bantuan kemanusiaan ke Syria

Foto: AP

BEIRUT: Kerosakan jalan raya, kekurangan bahan api dan cuaca musim sejuk melampau di Syria menghalang tindak balas agensi itu terhadap bencana gempa bumi yang melanda semalam, yang mengorbankan lebih 1,200 orang di negara itu, dengan jutaan lagi memerlukan bantuan, kata pegawai kanan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Gegaran kuat yang turut mengorbankan lebih 2,300 orang di Turkiye, menyebabkan orang ramai bergegas ke jalan raya di utara Syria, di mana serangan udara yang lalu dan bedilan sebelum ini menyebabkan penduduk sudah sedia trauma dan melemahkan banyak struktur bangunan.

Sebelum gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter itu melanda awal pagi semalam, PBB menganggarkan lebih empat juta orang tinggal di barat laut Syria.

PBB memaklumkan, jumlah mereka memerlukan sokongan kemanusiaan adalah lebih besar berbanding pada bila-bila masa sejak perang bermula, dengan 70 peratus penduduk memerlukan bantuan, dan itu sebelum gempa bumi melanda.

Ramai mangsa, yang rumah mereka musnah, bermalam di tempat terbuka atau di dalam kereta, lazimnya pada suhu beku, tanpa akses yang mencukupi kepada barangan asas seperti jaket dan tilam.

PBB sedang berusaha menggerakkan semua bantuan yang boleh ke zon terjejas secepat mungkin, sama ada di kawasan yang dikuasai kerajaan atau pemberontak.

PBB menerima kurang separuh daripada AS$4.4 bilion (RM18.92) yang diperlukan daripada penderma untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat pada 2022 dan jika trend itu berterusan, prospek pemulihan daripada krisis di Syria mungkin menjadi malap. – REUTERS

Loading...
Terkini