
PAKISTAN: Sekumpulan doktor di Hospital Kanak-Kanak Sadiqabad, Rahim Yar Khan terkejut apabila mendapati seorang bayi perempuan berusia 10 bulan mempunyai janin kembar di dalam perutnya.
The Sun UK melaporkan, keganjilan dikenali ‘fetus in fetu’ ditemukan pakar perubatan semasa pembedahan untuk membuang tumor di dalam perut bayi itu.
Fenomena ini biasanya turut dirujuk sebagai Vanishing Twin Syndrome. Menurut laporan dari British Medical Journal, kes seumpamanya dianggarkan hanya berlaku pada satu daripada setiap 500,000 orang dengan kurang daripada 200 kes itu dilaporkan di seluruh dunia.
Ketua perubatan menjelaskan bayi perempuan itu pada mulanya dimasukkan ke hospital untuk rawatan selepas mengalami sakit perut yang teruk.
Bayi itu menjalani imbasan ultrabunyi dan doktor percaya mereka mengesan kehadiran tumor di dalam pesakit cilik itu.
Ia juga dipercayai bahawa bayi itu mengalami asites, keadaan yang menyakitkan di mana cecair berkumpul di ruang di dalam perut.
Bayi itu dikejarkan ke dewan bedah, di mana pakar bedah kanak-kanak Mushtaq Ahmed bersedia untuk membuang ketumbuhan luar biasa itu.
Mushtaq berkata, apabila pembedahan dimulakan, semuanya kelihatan berjalan seperti yang dijangkakan.

“Selepas dua jam, ketumbuhan di perut bayi itu dikeluarkan. Didapati bahawa tumor itu, sebenarnya janin,” katanya.
Mushtaq menjelaskan fenomena dikenali sebagai ‘fetus dalam fetus’ membabitkan perkembangan kembar di mana satu janin tumbuh di dalam badan bayi yang lain.
“Ia berlaku satu dalam sejuta individu. Satu sampel sudah dihantar ke makmal untuk ujian komprehensif selanjutnya.
“Proses ini sebenarnya adalah kembar di mana seorang anak berkembang dalam rahim ibu, manakala yang lain berkembang di dalam perut janin bayi itu.
“Prosedur pembedahan itu sendiri adalah sangat rumit, dengan objektif utamanya ialah memelihara nyawa bayi perempuan itu. Kami bersyukur takdir Ilahi yang membawa kepada kejayaan pembedahan,” katanya. – THE SUN