comscore
Tumpuan :
Dunia

Jantina isteri terbongkar selepas 12 hari bernikah 

JAKARTA: Polis menahan seorang lelaki selepas menyamar sebagai wanita untuk bernikah dengan pasangannya di Cianjur, Jawa Barat, baru-baru ini.

Memetik laporan Portal detik.Com, helah ‘wanita’ itu terbongkar selepas mereka bernikah selama 12 hari.

Menurut laporan berkenaan, si suami yang berusia 26 tahun itu tidak pernah mengetahui bahawa pasangannya itu adalah lelaki, walaupun mereka sebelum ini menjalin hubungan selama setahun.

Bagaimanapun, selepas berkahwin, lelaki itu mula curiga selepas ‘si isteri’ tidak mahu melakukan hubungan intim, tidak mahu bergaul dengan ahli keluarga dan masyarakat.

Sementara itu, siasatan polis tempatan mendapati bahawa ‘wanita’ itu tidak kelihatan seperti lelaki, terutamanya kerana dia sentiasa berpakaian wanita dan bersolek.

Gambar perkahwinan juga menunjukkan si ‘isteri’ dengan rupanya seperti wanita.

Suaranya juga dilaporkan lembut dan ia menyebabkan lelaki itu tidak pernah meragui identiti sebenar kekasihnya itu.

Selepas jantina sebenar ‘wanita’ itu terbongkar, keluarga sebelah lelaki membuat laporan sebelum isterinya itu ditahan polis.

Ketika ditahan, ‘wanita’ itu berdolak-dalik, namun soal siasat terhadap bapa individu terbabit mengesahkan jantina sebenarnya.

Situasi itu amat mengejutkan keluarga si lelaki memandangkan dia dan ‘isteri’ dinikahkan dengan persetujuan wali hakim.

Wanita itu sebelum ini melaporkan bahawa ayahnya tidak dapat dikesan menyebabkan mereka bernikah dengan wali hakim. – Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini