Tumpuan :
Dunia

Jepun ambil tindakan terhadap tawaran kerja sambilan untuk aktiviti haram

Foto fail Reuters

TOKYO: Kerajaan Jepun sedang mempertimbangkan langkah-langkah pencegahan jenayah yang lebih ketat terhadap tawaran pekerjaan sambilan untuk aktiviti haram, satu isu sosial yang semakin berkembang, lapor Xinhua.

Langkah baharu itu termasuk kemungkinan pemberian subsidi untuk kediaman mempunyai tahap keselamatan tinggi dan sokongan kewangan untuk kumpulan komuniti yang menjalankan rondaan.

Kerajaan juga akan berusaha mengukuhkan rondaan siber bagi memantau dan menangani pengambilan pekerja dalam talian untuk aktiviti haram, serta bekerjasama dengan laman sesawang pekerjaan dan platform media sosial untuk menghapuskan jawatan pengambilan kerja sambilan haram berdasarkan permintaan pihak berkuasa penyiasat, menurut stesen penyiar awam NHK.

Langkah itu akan dimuktamadkan dalam minggu depan bertujuan memastikan keselamatan awam dan menangani kebimbangan yang semakin meningkat mengenai jenayah yang berkaitan dengan pekerjaan sambilan haram.

“Pekerjaan sambilan haram” merujuk kepada skim pekerjaan haram di Jepun, yang sering melibatkan individu yang direkrut untuk terlibat dalam aktiviti jenayah seperti penipuan, kecurian dan bahkan keganasan.

Perekrut sering menjanjikan wang yang cepat dan mudah, menyasarkan individu yang mungkin mengalami masalah kewangan, tidak bergaul secara sosial atau tidak menyedari implikasi undang-undang. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini