TOKYO: Jumlah kes penderaan kanak-kanak yang dikendalikan oleh pusat perundingan kanak-kanak di Jepun bagi tahun kewangan 2022 telah disemak turun kepada 214,843, kira-kira 4,000 lebih rendah daripada yang dilaporkan pada awalnya, menurut kerajaan pada Selasa.
Agensi Berita Kyodo melaporkan angka itu dikira semula selepas beberapa kerajaan tempatan membetulkan data, setelah pada mulanya mereka telah memasukkan kes yang kemudian disahkan tidak melibatkan penderaan. Bagaimanapun, jumlah keseluruhan terus meningkat walaupun semakan menurun.
“Tiada perubahan dalam trend yang semakin meningkat (kes penderaan). Memandangkan bilangan kes adalah penting untuk penggubalan dasar, kami mengakui keperluan untuk menyemak semula sebarang kesilapan yang telah berlaku,” kata seorang pegawai Agensi Kanak-Kanak dan Keluarga yang melaporkan data awal berkenaan.
Agensi itu melaporkan pada tahun lepas terdapat 219,170 kes penderaan kanak-kanak yang dikendalikan oleh pusat perundingan, meningkat sebanyak 11,510 berbanding tahun kewangan 2021 dan mencatatkan rekod tertinggi sejak angka itu mula dikumpul pada tahun kewangan 1990.
Angka yang disemak itu dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan kerana beberapa kerajaan tempatan didapati melaporkan kes yang tidak mematuhi garis panduan.
Angka itu mewakili kes di mana pusat berkenaan menerima perundingan dan memberikan bimbingan.
Antara wilayah yang melaporkan penurunan besar daripada angka awal ialah Saitama, Tokyo dan Kyoto.
Mengikut jenis penderaan, penderaan psikologi merangkumi hampir 60 peratus dengan 128,114 kes, diikuti penderaan fizikal sebanyak 49,464 kes, pengabaian sebanyak 34,872 kes dan penderaan seksual sebanyak 2,393 kes, mencerminkan trend yang sama seperti dalam data awal.
Menurut kerajaan, angka dari tahun kewangan 2021 dan sebelumnya mungkin juga disemak turun. Agensi itu merancang untuk mengeluarkan data tahun kewangan 2023 menjelang akhir tahun kewangan semasa, yang berakhir pada Mac.
— BERNAMA-KYODO
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.