TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menarik balik amaran tsunami untuk Kepulauan Izu dan Ogasawara pada 11 pagi waktu tempatan, Selasa, selepas beberapa kawasan mencatatkan ketinggian ombak yang lebih rendah daripada ramalan sebelumnya.
Agensi itu memberi amaran bahawa perubahan kecil pada paras air pasang mungkin masih berlaku di sepanjang pantai Pasifik, namun tiada kebimbangan mengenai kerosakan akibat tsunami.
Amaran dikeluarkan bagi menggesa penduduk menjauhi kawasan pantai selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala richter melanda kepulauan Jepun pada pagi Selasa.
Gempa bumi yang berlaku pada 8:14 pagi waktu tempatan itu berpusat berhampiran Kepulauan Torishima pada kedalaman 10 kilometer, namun tiada intensiti seismik bacaan satu atau lebih yang direkodkan, menurut agensi cuaca.
— BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.