Tumpuan :
Dunia

Jerebu: Pakistan larang rakyat kunjungi tempat awam

LAHORE: Kerajaan Wilayah Punjab di Pakistan hari ini menguatkuasakan larangan kemasukan di kebanyakan tempat awam termasuk taman dan zoo.

Langkah itu bertujuan melindungi orang ramai daripada pencemaran udara yang teruk di bahagian wilayah timur.

Ibu kota wilayah Lahore diselubungi jerebu tebal minggu ini dan secara konsisten dinilai sebagai bandar paling tercemar di dunia oleh kumpulan Switzerland, IQAi.

Situasi itu turut menyebabkan penutupan sekolah dan perintah supaya bekerja dari rumah.

Perintah dikeluarkan kerajaan Punjab itu menyatakan ‘larangan sepenuhnya kemasukan orang ramai di semua taman, zoo, taman permainan, tempat bersejarah, monumen, muzium dan taman tema sehingga 17 November depan membabitkan beberapa kawasan termasuk Lahore.

Banyak bahagian di Asia Selatan mengalami pencemaran teruk susulan suhu menurun setiap kali musim sejuk dengan udara yang sejuk memerangkap habuk, selain pencemaran disumbangkan oleh pelepasan dan asap daripada kegiatan pembakaran serta amalan haram membakar sisa tanaman untuk membersihkan ladang dengan cepat.

Minggu lalu, kerajaan Punjab menyalahkan udara toksik yang masuk dari negara jirannya, India di mana kualiti udara negaranya turut mencapai tahap berbahaya dengan pelaporan kes pencemaran yang sangat tinggi tahun ini.

IQAir hari ini dalam penilaiannya ke atas ibu kota India, New Delhi, menyifatkan ia bandar kedua paling tercemar di dunia dengan data kerajaan menunjukkan kebakaran ladang di negeri wilayah Punjab dan Haryana sebagai antara penyumbang utama.

Bagi menangani isu pencemaran, kerajaan persekutuan India pada Rabu menggandakan denda yang dikenakan ke atas pelaku kes sedemikian.

Menurut Kementerian Alam Sekitar, petani yang memiliki tanah kurang daripada dua ekar kini perlu membayar denda 5,000 rupee, sekiranya didapati melakukan kesalahan terbabit manakala bagi pengusaha dengan keluasan tanah dua hingga lima ekar perlu membayar denda 10,000 rupee.

Bagi petani dengan tanah lebih daripada lima ekar akan dikenakan denda sebanyak 30,000 rupee. — REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini