JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo memuji kejayaan pasukan tentera dan polis yang berusaha membebaskan juruterbang New Zealand, Phillip Mehrtens daripada menjadi tebusan kumpulan bersenjata Papua pada Sabtu.
Jokowi turut menyifatkan usaha pembebasan ini sebagai satu proses yang panjang.
Menurut Jokowi, proses rundingan adalah panjang, dan pihaknya meletakkan kesabaran tinggi sebelum melakukan tindakan melulu yang dikhuatiri menggugat keselamatan dan mengutamakan keselamatan juruterbang yang menjadi tebusan.
Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan, Mehrtens dibebaskan dari kawasan Nduga seterusnya dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan dan psikologi di daerah Timika.
Mehrtens diterbangkan ke Jakarta pada Sabtu malam untuk bertemu keluarganya dan diserahkan kepada kedutaan New Zealand.
Ketua Operasi Damai Cartenz, Brigadier Jeneral Faizal Ramadhani mengesahkan kerajaan Indonesia melaksanakan pendekatan secara rundingan, mengutamakan dialog berbanding tindakan bersenjata.
Pasukan petugas turut berunding dengan pemimpin agama, wakil gereja, tokoh tempatan serta ahli keluarga ketua pemisah, Egianus Kogoya.
Warga New Zealand itu diculik pada 7 Februari tahun lalu ketika membuat penerbangan pemindahan pekerja dari wilayah bergolak itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.