TRENTON: Kanada mengumumkan larangan terhadap 324 model senjata untuk serangan pada Khamis, menjelang ulang tahun ke-35 pembunuhan 14 wanita di Universiti Ecole Polytechnique, Montreal.
Ia adalah langkah terbaharu kerajaan untuk menunaikan janji dalam memperkenalkan undang-undang senjata api paling ketat dalam beberapa dekad, lapor Agensi Anadolu.
Larangan itu diumumkan dalam satu sidang media ketika kerajaan bersiap sedia untuk memperingati kejadian tembakan maut pada 6 Dis 1989, apabila seorang lelaki yang membawa senapang memasuki sebuah bilik kuliah di universiti dan menembak 28 orang, membunuh 14 wanita sebelum membunuh diri.
Senjata serangan yang dilarang dan dibeli semula daripada pemiliknya melalui program beli balik boleh didermakan kepada Ukraine untuk digunakan menentang pasukan Rusia, menurut kerajaan.
Menteri Pertahanan Bill Blair dalam sidang media itu berkata kerajaan memaklumkan kepada Ukraine pada Oktober lepas untuk bertanya sama ada senjata itu berguna.
“Ukraine mengesahkan, terdapat beberapa senjata yang merupakan sebahagian daripada program ini yang sesuai digunakan,” kata Blair.
Pengumuman itu, yang berkuat kuasa serta-merta, melarang senjata yang “dengan rekaan taktikal atau ketenteraan, dengan kapasiti magazin besar,” menurut laporan tersebut.
“Senjata api yang direka untuk medan perang tidak sepatutnya berada dalam komuniti kita,” kata Menteri Keselamatan Awam Dominic LeBlanc, ketika mengumumkan larangan berkenaan pada sidang media.
“Sering kali, senjata jenis ini digunakan untuk melakukan beberapa kekejaman paling buruk yang pernah berlaku di Kanada,” katanya.
Model senjata terkini yang diharamkan ini menambah kepada larangan pada 2020 terhadap 1,500 model senjata api yang akhirnya meningkat kepada 2,000 model bulan lepas, lapor Global News.
Menurut angka agensi Keselamatan Awam Kanada, jumlah senjata api yang terjejas adalah sekitar 14,500.
— BERNAMA-AA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.