comscore
Tumpuan :
Dunia

Kandungan hiburan bantu lonjak eksport kimchi ke paras tertinggi

Kimchi adalah hidangan sampingan tradisional Korea Selatan yang lazimnya dibuat daripada jeruk kubis.-Foto hiasan.

SEOUL: Eksport kimchi Korea Selatan mencatat rekod baharu tahun lalu seiring dengan peningkatan populariti kandungan hiburan negara itu di seluruh dunia.

Menurut data Perkhidmatan Kastam Korea, eksport kimchi, hidangan sampingan tradisional Korea yang lazimnya dibuat daripada jeruk kubis, meningkat 7.1 peratus kepada 44,041 tan di sepanjang tempoh itu.

Angka terbaharu itu mengatasi rekod sebelum ini yang dicatatkan pada 2021 dengan jumlah eksport sebanyak 42,544 tan.

Dari segi nilai, eksport kimchi mencecah US$155.6 juta (RM733.498 juta) pada 2023, meningkat 10.5 peratus dari tahun ke tahun.

“Eksport Kimchi mengalami lonjakan ketara tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh peningkatan populariti K-kandungan,” kata seorang pegawai Kementerian Pertanian Korea Selatan dan dipetik Agensi Berita Yonhap.

Jepun merupakan destinasi utama untuk eksport kimchi tahun lepas; menyumbang 20,173 tan, diikuti oleh Amerika Syarikat dengan 10,660 tan dan Belanda dengan 1,756 tan.

Yang agak pelik, Korea Selatan turut mengimport kimchi.

Malah sepanjang tahun lalu, jumlah importnya sahaja adalah sebanyak US$163.5 juta dan adalah US$7.9 juta lebih tinggi daripada nilai eksportnya.

Negara itu mengimport kimchi, kebanyakannya dari China disebabkan kos pengeluaran yang tinggi di pasaran domestik.

– BERNAMA-YONHAP

Loading...
Terkini