comscore
Tumpuan :
Dunia

Kazakhstan sokong kemasukan Belarus ke dalam SCO

Persidangan Pertubuhan Kerjasama Shanghai.-SCO- Foto fail Reuters

ASTANA: Kazakhstan teguh dalam sokongannya terhadap kemasukan Belarus ke dalam blok Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), melihatnya sebagai langkah penting ke arah kerjasama dan keterangkuman serantau yang lebih besar.

Timbalan Menteri Luar Kazakhstan Roman Vassilenko menekankan bahawa Belarus menyertai SCO menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memupuk kerjasama ekonomi dan budaya dalam organisasi itu.

“Kami menyokong sepenuhnya perkembangan ini, kerana ia sejajar dengan matlamat kami yang lebih luas untuk menggalakkan keterangkuman dan kerjasama tanpa mematuhi mentaliti blok Timur berbanding Barat,” katanya kepada pemberita yang membuat liputan Sidang Kemuncak SCO di ibu negara Kazakhstan pada Khamis.

Satu daripada pencapaian bersejarah sidang kemuncak itu ialah keputusan untuk memuktamadkan prosedur kemasukan Belarus sebagai negara anggota SCO.

SCO terdiri daripada China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, India, Pakistan dan Iran dan ia akan berkembang kepada 10 ahli dengan kemasukan Belarus.

SCO mewakili lebih tiga bilion orang atau kira-kira 45 peratus daripada penduduk dunia.

Pemimpin terkenal di Astana untuk sidang kemuncak itu termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden China Xi Jinping, Presiden sementara Iran Mohammad Mokhber dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.

Vassilenko berkata Kazakhstan menghargai SCO sebagai platform penting untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai domain dan ia memberi penekanan kepada integrasi ekonomi dan budaya.

Beliau berkata dasar luar Kazakhstan yang seimbang dan pragmatik, yang terlibat sama dengan negara jiran seperti Rusia dan China serta negara-negara Barat, memupuk pendekatan pelbagai aspek dalam hubungan antarabangsa.

“Pendekatan kami ialah mengekalkan dasar negara terbuka, membina hubungan kukuh dengan kedua-dua negara jiran dan Barat. Strategi ini membolehkan kami membawa perspektif unik kepada SCO dan masyarakat antarabangsa,” katanya.

Vassilenko menekankan bahawa komitmen Kazakhstan terhadap dasar luar yang pelbagai bukan sahaja mengukuhkan hubungan diplomatiknya tetapi juga menyumbang kepada kestabilan serantau dan global.

“Kemasukan Belarus dalam SCO dijangka meningkatkan usaha kolektif organisasi dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi, keselamatan dan pertukaran budaya dalam kalangan negara anggota,” katanya.  — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini