
SEOUL : Korea Selatan memutuskan untuk memberi bantuan kemanusiaan bernilai US$2 juta kepada Hawaii bagi menangani kemusnahan akibat kebakaran hutan di Pulau Maui baru-baru ini.
Kebakaran hutan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 93 orang, menjadikannya kebakaran yang meragut nyawa paling ramai di Amerika Syarikat dalam tempoh lebih seabad, dengan kerugian dianggarkan US$6 bilion, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Kementerian Luar Korea Selatan pada Isnin.

Seoul merancang menghantar bantuan air, makanan dan barangan lain, selain bantuan kewangan kepada organisasi bantuan tempatan.
“Kami berharap bantuan itu dapat membantu kerajaan Hawaii pulih dengan cepat daripada bencana itu, dan penduduk yang terjejas dapat kembali menjalani kehidupan harian mereka.
“Bantuan itu juga bertujuan memperkukuh hubungan mesra antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan kementerian. — BERNAMA-YONHAP