Tumpuan :
Dunia

Kebakaran hutan, 5 maut, lebih 70,000 diarah pindah

FOTO: Reuters

LOS ANGELES: Kebakaran hutan di sekitar Los Angeles, Amerika Syarikat meragut sekurang-kurangnya lima nyawa.

Menurut pihak berkuasa kebakaran terus merebak menyebabkan seluruh jalan, kereta dan kediaman musnah dalam tempoh amat singkat.

Lebih 1,000 bangunan musnah susulan beberapa kebakaran hutan tercetus di sekitar bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat itu.

Bencana juga memaksa puluhan ribu orang berpindah meninggalkan kediaman.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila disertai ribut yang membawa angin kencang mendorong kebakaran terus marak di kawasan perumahan mewah Pacific Palisades yang memusnahkan sebahagian besar hartanah California sering didiami golongan kenamaan.

Ketua Bomba Daerah Los Angeles, Anthony Marrone, berkata pasukannya sukar mengawal kebakaran ekoran skala dan kepantasan bencana yang berlaku kali ini.

Sementara itu, api yang kian marak belum dapat dikawal sekitar Altadena, sekaligus menyambar kediaman dan setakat ini mengorbankan lima orang.

Menurut Marrone, meskipun 70,000 penduduk diarah berpindah, sebahagian besar mereka masih mengendahkan amaran.

Kepulan asap hitam menyelubungi Los Angeles, selain kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan jalan raya.

Dalam pada itu, Jabatan Air dan Tenaga merayu orang ramai menjimatkan penggunaan air susulan kesemua pili bomba di Pacific Palisades kering.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini