comscore
Tumpuan :
Dunia

Kedai TikTok di Indonesia diberi kata dua

Foto: Reuters

JAKARTA: Kedai TikTok diberi tempoh tujuh hari untuk memohon permit perdagangan elektronik bagi mengelak penutupan oleh kerajaan Indonesia, menurut Menteri Perdagangan negara itu, Zulkifli Hasan.

Bercakap pada sidang media mengenai Peraturan Menteri Perdagangan Nombor 31 Tahun 2023 semalam, beliau menyatakan Kedai TikTok perlu mendapatkan permit e-dagang jika ingin meneruskan transaksi di platform berkenaan.

Tegasnya, sebaik sahaja seminggu berlalu, Kedai TikTok tidak lagi dibenarkan beroperasi tanpa permit e-dagang.

“Pada masa akan datang, TikTok hanya boleh digunakan untuk promosi dan pengiklanan, manakala transaksi sebenar mesti dilakukan di laman e-dagang,” katanya yang dilaporkan portal antaranews.com.

Hasan menggesa pihak berkepentingan mematuhi peraturan baharu yang digariskan dalam peraturan itu, pindaan Peraturan Menteri Perdagangan Nombor 50 Tahun 2020 berkaitan pelesenan perniagaan, pengiklanan, pembangunan, dan penyeliaan pelaku perniagaan yang terlibat dalam perdagangan sistem elektronik.

Beliau berkata semakan itu bertujuan memupuk ekosistem perdagangan elektronik yang positif.

Kementerian juga ujarnya akan mengenakan sekatan, termasuk pembatalan permit, bagi sebarang pelanggaran peraturan.

Peraturan Menteri Perdagangan No. 31 Tahun 2023 meliputi berbagai aspek, termasuk pemisahan antara media sosial dan perdagangan sosial.

Selain itu, ia mewajibkan harga minimum AS$100 untuk barangan siap import yang dijual terus oleh peniaga ke Indonesia melalui platform e-dagang rentas sempadan.Peraturan itu juga termasuk senarai positif barangan import yang dibenarkan masuk ke Indonesia secara langsung melalui platform e-dagang.

Peraturan itu juga menetapkan keperluan khusus untuk pedagang asing di pasaran domestik.

Ini termasuk menyediakan bukti kesahihan perniagaan dari negara asal, pematuhan kepada piawaian kebangsaan Indonesia (SNI) dan peraturan halal, melekatkan label bahasa Indonesia pada produk dari luar negara, dan menyatakan asal penghantaran barangan.

Peraturan itu juga melarang pasaran dan platform perdagangan sosial daripada mengeluarkan barangan dan menyekat kawalan data oleh Sistem Elektronik Penganjur Perdagangan (PPMSE) dan sekutunya. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini